Fokus pada kemahiran, bukan sekadar sijil, kata Tok Mat

Fokus pada kemahiran, bukan sekadar sijil, kata Tok Mat

Timbalan Presiden Umno berkata, kemahiran dan pengalaman lebih penting dalam pasaran kerjaya berbanding sijil pendidikan.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, menggesa strategi baharu sistem pendidikan negara dalam pada Malaysia semakin menghampiri status negara berpendapatan tinggi.
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, menggesa perubahan terhadap dasar pendidikan tinggi negara, supaya lebih memfokuskan kepada pembangunan kemahiran.

Mohamad berkata, dunia kini dalam era mementingkan “kemahiran berbanding ijazah”, dengan kemahiran dan pengalaman lebih dititikberatkan dalam pasaran kerja berbanding sijil.

Katanya, “kemahiran berbanding ijazah” bukan sekadar merujuk kepada kemahiran vokasional atau teknikal.

Sebaliknya, katanya, ia merujuk kepada perkara lebih menyeluruh, holistik dan seimbang, malah pasaran kerja kini lebih memerlukan kepelbagaian bakat contohnya individu yang bersikap kritikal, kreatif, yakin, petah dan bijak mencapai matlamat.

Susulan itu, katanya, perubahan dasar yang menekankan kemahiran seperti itu amat penting untuk mengatasi isu seperti pengangguran graduan serta ketidakpadanan antara pendidikan ditawarkan universiti berbanding kehendak industri.

“Pelajar patut dibekalkan dengan kemahiran yang mengimbangkan antara pengetahuan teknikal dan kebolehan berinteraksi,” kata Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat dalam kenyataan.

Beliau berkata, kemahiran seperti itu lazimnya dilihat dalam tenaga kerja yang melalui latihan seni liberal.

Mohamad berkata, dalam pada Malaysia semakin menjadi negara berpendapatan tinggi, strategi berbeza diperlukan dalam sistem pendidikan.

“Kegagalan berbuat demikian akan mengganggu kemajuan kerana pendidikan penting untuk mengembangkan kemahiran diperlukan bagi membolehkan Malaysia menjadi negara maju.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.