
Chow berkata, kilang menyumbang angka tinggi untuk kluster tempat kerja di negeri itu iaitu 10 daripada 12, manakala baki dua lagi adalah kluster penjara reman dan sekolah.
Tambahnya, selain bilangan kes Covid-19 yang semakin bertambah, Putrajaya sepatutnya mempercepatkan suntikan vaksin untuk pekerja kilang menerusi program Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
“Kluster industri memerlukan perhatian. Vaksinasi adalah langkah terbaik memastikan bilangan kes terkawal antara 120 hingga 150 purata kes harian direkodkan di negeri ini.
“Perlu dinyatakan bahawa Kementerian Kesihatan sebelum ini menutup 47 kilang di negeri ini kerana Covid-19,” katanya pada sidang media di Komtar.
Menurut Chow, terdapat 4,352 kes positif direkodkan setakat ini daripada 105,066 pekerja yang melakukan ujian saringan Program Saringan Covid-19 Bagi Pekerja Asing dikendalikan Perkeso.
Tambahnya, kadar pendaftaran untuk program imunisasi di negeri itu menyaksikan perkembangan memberangsangkan, dengan 43.2% atau 597,850 individu sudah mendaftarkan diri.
“Ini secara efektif meletakkan Pulau Pinang antara tiga negeri tertinggi (kadar pendaftaran vaksin), bersama Selangor dan Kuala Lumpur yang masing-masing mencatatkan 47%.
“Sehingga semalam, 36,982 petugas barisan hadapan sudah menerima suntikan dos pertama, manakala 29,334 sudah menerima suntikan dos kedua,” katanya.