
Pengerusi Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (LEKAS), Zikrullah Ismail, berkata ia berikutan tindakan kerajaan negeri yang dilihat tidak menghormati rayuan nelayan Sungai Batu dalam isu berkenaan.
“Pandangan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, bahawa kerja-kerja di Pulau A akan bermula Mei ini adalah tidak cermat dan menunjukkan kerajaan negeri tidak menghormati proses rayuan yang dibuat nelayan.
“Rayuan itu mempunyai kemungkinan EIA (Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar) dibatalkan,” katanya dalam kenyataan.
Zikrullah mendesak penilaian semula EIA dengan proses penyertaan awam secara bebas.
Katanya, tindakan tergesa-gesa kerajaan negeri mempromosi PSR melalui satu siaran media berbayar sebelum ini, menggambarkan kedudukan terdesak, yang cuba disorokkan untuk membina keyakinan palsu terhadap pelabur.
“Untuk rekod, projek seluas 1.821 hektar akan melibatkan 3.2 juta tan jejak karbon setiap tahun,” katanya.
Terdahulu, Zakiyuddin dilaporkan berkata, PSR yang membabitkan tiga pulau buatan dekat Bayan Lepas, dijangka bermula bulan depan.
Katanya, selepas memulakan pembinaan, Pulau A di perairan dekat Permatang Tepi Laut seluas 930 hektar dijangka disiapkan dalam tempoh kira-kira sembilan tahun.