Ratifikasi perjanjian kerjasama untuk tingkat FDI, perdagangan luar, kata Ahli Parlimen DAP

Ratifikasi perjanjian kerjasama untuk tingkat FDI, perdagangan luar, kata Ahli Parlimen DAP

Ong Kian Ming berkata ia akan menghantar isyarat jelas bahawa Malaysia terbuka untuk perniagaan.

Ahli Parlimen DAP Bangi Ong Kian Ming berkata ratifikasi RCEP CPTPP akan memanfaatkan perdagangan Malaysia dalam jangka panjang.
PETALING JAYA:
Bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri Ong Kian Ming menggesa kerajaan supaya meratifikasikan dua perjanjian kerjasama dalam meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) dan perdagangan luar.

Kerjasama itu adalah Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans Pasifik (CPTPP).

Menekankan bahawa ia adalah pendapat peribadinya, Ahli Parlimen Bangi itu berkata, langkah itu akan memberikan isyarat yang kuat bahawa Malaysia sebenarnya terbuka untuk perniagaan dan serius dalam usaha menarik FDI.

“Pada masa yang sama, ini akan memperkukuh asas perindustrian kita, dengan dasar domestik pelengkap seperti rancangan Industri 4WRD atau Industri 4.0 kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Ong berkata, pertumbuhan eksport 15.4% pada Februari – prestasi paling kukuh dalam 28 bulan – dan statistik perdagangan lain tidak benar-benar dipengaruhi oleh dasar langsung kerajaan, terutama dalam jangka pendek.

“Jika kerajaan serius dalam usahanya untuk meningkatkan FDI dan perdagangan luar, lebih lama dan berkekalan, fokus kita adalah meratifikasi RCEP dan juga CPTPP,” katanya.

Katanya, semakin cepat RCEP disahkan, semakin cepat pemain tempatan dan antarabangsa di Malaysia dapat menikmati faedah kerjasama dari perspektif perdagangan.

Beliau juga berkata, menteri kanan Mohamed Azmin Ali harus lebih berani dalam menetapkan tarikh akhir untuk mengesahkan CPTPP bagi menunjukkan bahawa Malaysia komited untuk meningkatkan kualiti FDI dan standard pembuatan, tenaga kerja dan persekitarannya.

“Walaupun saya menyedari ada kebimbangan mengenai CPTPP dan Mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS) yang banyak diperdebatkan, syarikat multinasional yang beroperasi di Malaysia memiliki sangat sedikit insentif untuk membawa kerajaan Malaysia ke ‘mahkamah’ kerana mereka ingin terus bekerjasama dengan kerajaan dalam hal membabitkan kepentingan bersama, ”katanya.

Ong berkata, perdebatan terbuka dan jujur oleh pelbagai pihak berkepentingan diperlukan untuk membersihkan isu ISDS, yang selalu diketengahkan setiap kali CPTPP atau perjanjian perdagangan bebas (FTA) lain dibincangkan.

Katanya, kerajaan dan pembangkang mesti menjelaskan bagaimana FTA ini akan memanfaatkan masyarakat umum.

Beliau juga berkata, dasar domestik harus diperkukuh untuk memberi bantuan kepada industri yang akan menerima impak negatif oleh FTA ini.

“Komuniti perniagaan antarabangsa dan rakan kongsi tempatan serta pihak berkepentingan di Malaysia sedang memerhatikan dengan dekat dan berhati-hati” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.