Projek pangsapuri bersebelahan lebuh raya sesak bimbangkan penduduk

Projek pangsapuri bersebelahan lebuh raya sesak bimbangkan penduduk

Penduduk juga bimbang kesesakan trafik selain banjir dan tanah runtuh di Jalan Robson.

KUALA LUMPUR:
Tanah “sekangkang kera” di Seputeh ini hanya merunsingkan penduduk setempat.

Apa yang mengecewakan mereka, kawasan berkenaan hanya seluas 4,000 kaki persegi (372 meter persegi) terletak di lereng bukit di Jalan Robson sedang dibangunkan menjadi pangsapuri 13 tingkat dalam tempoh dua tahun.

Tapak pembinaan terletak tepat di atas Jalan Syed Putra, menjadi antara laluan paling sibuk di bandar raya ini, dan masyarakat setempat bimbang jika berlaku kemalangan ketika pembinaan – terutama ketika kerja menanam cerucuk – berpotensi menimbulkan malapetaka di laluan di bawahnya.

Selain kebimbangan mengenai kesesakan trafik di Jalan Robson, penduduk juga memberitahu FMT bahawa banjir dan tanah runtuh adalah masalah yang selalu berlaku di kawasan berkenaan yang menjadikan pembinaan pembangunan bertingkat di Seputeh sebagai perniagaan yang berisiko.

Seorang penduduk menganggarkan bahawa 7,000 penduduk di kawasan itu menggunakan Jalan Robson setiap hari, yang kebanyakannya tinggal di pelbagai kondominium di kawasan itu.

Kawasan ini dikenali mempunyai masalah hakisan tanah, dan penduduk bimbang kejadian tanah runtuh yang pernah berlaku pada Oktober 2020, yang hampir menenggelamkan tingkat bawah sebuah pangsapuri berdekatan.

Jalan Robson juga adalah satu-satunya jalan masuk ke kuil Thean Hou dan SRJK (C) Kuen Cheng.

Oktober lalu, berlaku tanah runtuh di luar kuil Thean Hou hampir menenggelamkan tingkat bawah bangunan pangsapuri berhampiran dan memaksa penduduknya berpindah.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Mahadi Che Ngah kemudian melaporkan bahawa terdapat beberapa kawasan di Seputeh terjejas oleh hakisan tanah selepas bukit di sekitarnya diratakan.

Projek seluas 4.000 kaki persegi itu akan mempunyai enam tingkat pangsapuri khidmat, tiga tingkat pejabat, dan masing-masing dua lagi tingkat untuk tempat letak kereta dan taman.

Ia mula dicadangkan pada tahun 2018 tetapi terpaksa ditangguhkan oleh pihak berkuasa selepas pelbagai bantahan dari penduduk.

Kini penduduk melihat papan tanda luar tapak pembinaan menyatakan bahawa pembinaan di tapak berkenaan bermula pada 1 Mac dan dijangka siap pada Februari 2023.

Walaupun badan pengurusan kondominium berhampiran sudah menulis surat kepada Mahadi pada 23 Mac untuk menyuarakan kebimbangan mengenai projek itu, Datuk Bandar mahupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih belum dapat mengatasi masalah penduduk.

“Ia perkara logik. Pencegahan lebih baik merawat,” kata M Kayveas, seorang penduduk lama di kawasan itu.

Pandangan hadapan sebuah apartmen di Seputeh di mana penduduk terpaksa berpindah selepas kejadian tanah runtuh pada Oktober 2020.

“Sekiranya pihak berkuasa membenarkan projek ini, akan berlaku tanah runtuh, kemalangan dan kematian.

“Hanya selepas itu baru mereka akan membuat bising mengatakan bahawa pembangunan itu seharusnya tidak dibenarkan berlaku.”

Kayveas, bekas presiden parti komponen Barisan Nasional MyPPP, pernah menjadi timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan.

Beliau memberitahu FMT bahawa pemaju projek itu tidak mempertimbangkan aliran trafik di kawasan itu dan ancaman tanah runtuh, banjir dan kemalangan.

Sambil menjelaskan bahawa projek itu hampir dengan Jalan Syed Putra, Kayveas berkata, pengguna jalan raya di lebuh raya yang sibuk di bawah terdedah dengan bahaya, penyiapan projek ini bermaksud bahawa perancang bandar tidak akan dapat melebarkan Jalan Syed Putra pada masa akan datang.

Seorang penduduk lain yang enggan dikenali berkata, beliau meragui sama ada penilaian kesan terhadap persekitaran, trafik atau sosial dilakukan sebelum projek itu dimulakan.

Dengan hakisan tanah yang menjadi kebimbangan berterusan, penduduk juga mempersoalkan apakah analisis geoteknik kawasan itu dilakukan – yang akan memberikan maklumat tepat mengenai topografi tanah, geologi, saliran, kawasan tadahan air dan ciri semula jadi lain untuk diambil tindakan lanjut oleh jurutera.

Jika diperhatikan, kesesakan lalu lintas di Jalan Robson adalah “bumper-to-bumper” pada hari bekerja, penduduk berkata, mereka “terkejut” melihat notis pembangunan projek itu di papan tanda bersebelahan tapak pembinaan.

Sementara itu, Kayveas mendesak penduduk kawasan itu untuk bersuara berhubung projek seperti itu, sambil menekankan bahawa pihak berkuasa tidak boleh menafikan bantahan masyarakat terhadap satu lagi pembangunan bertingkat di bandar raya yang sudah dipenuhi pencakar langit.

“Apabila kami mengatakan sesuatu terhadap pihak berkuasa, itu tidak bermaksud kami tidak senang dengan mereka dan semua pekerjaan baik yang telah mereka lakukan,” kata Kayveas.

“Tetapi itu tidak memberi mereka hak untuk melanggar undang-undang dan alam sekitar.

“Perkembangan seperti ini tidak akan memberi manfaat kepada generasi berikutnya, dan kita harus selalu memikirkannya ketika merancang projek seperti ini.”

Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun memberitahu FMT bahawa beliau akan meminta pegawainya memeriksa perkara itu.

FMT sedang menunggu jawapan daripada pemaju dan DBKL.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.