Pemandu, kelindan treler maut dalam nahas di Lebuhraya KL-Karak

Pemandu, kelindan treler maut dalam nahas di Lebuhraya KL-Karak

Kenderaan berat itu terbabas dan terbalik di Km43.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak malam tadi.

Polis berkata, pihaknya terpaksa meminta bantuan pasukan bomba bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dan mayat dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat. (Gambar Facebook Polis Bentong)
KUANTAN:
Pemandu dan kelindan treler membawa muatan bongkah batu maut selepas kenderaan berat itu terbabas dan terbalik di Km43.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di Bentong, kira-kira 200 km dari sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Kamarulzaman Jusoh berkata dalam kejadian 9 malam itu, kedua-dua mangsa yang tersepit di dalam treler tersebut maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada seluruh badan.

Mangsa dikenal pasti sebagai Izani Hasri Azmi, 44, dari Marang, Terengganu yang memandu treler itu dan Yusoff Mat Zain, 63, dari Kuantan.

“Kemalangan dipercayai berlaku selepas treler yang dalam perjalanan dari ibu negara ke Bentong itu hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya terpaksa meminta bantuan pasukan bomba bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dan mayat dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.

Kes disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.