Lebih 7,000 masyarakat Islam Sepanggar sertai Upko

Lebih 7,000 masyarakat Islam Sepanggar sertai Upko

Borang kemasukan menjadi ahli parti itu disampaikan usahawan, Marajoh Unding kepada Presiden Upko, Wilfred Madius Tangau pada majlis malam tadi.

Marajoh Unding (tiga dari kanan) menyampaikan 7,219 borang keahlian baru kepada Madius. (Gambar Upko)
SEPANGGAR:
Seramai 7,219 masyarakat Islam di kawasan Sepanggar menyertai Upko, menjadikan jumlah ahli di bahagian itu meningkat kepada 15,000 orang.

Borang keahlian parti itu disampaikan usahawan, Marajoh Unding kepada Presiden Upko, Wilfred Madius Tangau dalam satu majlis di sebuah hotel, malam tadi.

Madius ketika ditemui berkata, penyertaan ahli baharu itu menjadi satu lagi sejarah buat Upko dan membuktikannya sebuah parti multinasional seiring penjenamaan semula yang dilaksanakan tahun lalu.

“Walaupun sebelum ini, kita mempunyai ahli beragama Islam tetapi bilangannya tidak ramai dan dengan kemasukan Marajoh Unding sendiri berserta semua ahli hari ini, maka penjenamaan semula Upko kini lengkap dari segi barisan kepimpinan serta keahliannya.

“Secara keseluruhannya, kita ada seramai 150,000 ahli di seluruh Malaysia dan dengan keahlian ini akan melonjak kepada 180,000 ahli,” katanya.

Sementara itu, Marajoh yang pernah menyertai Parti Liberal Demokratik (LDP) dan menjadi calon parti itu pada pilihan raya negeri (PRN) lalu, ketika diminta mengulas berhubung keputusannya memilih berjuang bersama Upko, berkata keputusan itu dibuat selepas membuat penelitian menyeluruh.

“Saya dapati kepimpinan parti ini tidak sama seperti parti-parti yang lain kerana mereka mempunyai kesamarataan dan memiliki kekuatan bersama.

“Bagi saya untuk memperjuangkan Sabah melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) atau memperjuangkan agama, bangsa dan rakyat Sabah keluar daripada belenggu ekonomi dan kemiskinan, ia memerlukan kepimpinan dan kesamarataan serta kesepakatan yang kuat, ini yang saya lihat ada pada kepimpinan Upko dan ini menyebabkan saya tertarik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.