Fatwa tak boleh melanggar perlembagaan, kata pakar

Fatwa tak boleh melanggar perlembagaan, kata pakar

Shad Saleem Faruqi berkata, mahkamah sivil cenderung mengabaikan peruntukan berkenaan hak asasi.

Pakar perlembagaan Shad Saleem Faruqi berkata, penggubal Perlembagaan Persekutuan bermaksud memperuntukkan kesalahan syariah sebagai kesalahan kecil.
PETALING JAYA:
Mana-mana fatwa atau perintah agama tidak boleh melanggar Perlembagaan Persekutuan, yang merupakan undang-undang tertinggi negara, kata pakar undang-undang perlembagaan Shad Saleem Faruqi.

Malangnya, kata beliau, mahkamah sivil cenderung mengabaikan peruntukan berkenaan hak asasi.

“Begitu banyak fatwa dianggap seolah-olah berasingan daripada perlembagaan,” kata Shad Saleem dalam webinar bertajuk “Freedom and Tolerance in Islam: Why We Need Some Rethinking” yang dianjurkan oleh G25 dan Edunity Foundation.

Beliau merujuk kes mahkamah yang membabitkan pendakwah bebas Fathul Bari Mat Jahya yang sebelum ini disabitkan kerana mengajar agama Islam tanpa tauliah.

Kata beliau, mahkamah telah menolak hujah Fathul Bari mengenai kebebasan bersuara bawah Perlembagaan, dengan alasan bahawa “terlalu banyak pandangan akan mengelirukan umat Islam.”

Tambah Shad Saleem, Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa undang-undang merangkumi undang-undang bertulis, undang-undang lazim dan adat “sejauh mana ia diperakui”.

“Peraturan agama, etika dan moral bukanlah dikira undang-undang melainkan ia digabungkan ke dalam salah satu daripada tiga undang-undang tadi,” kata beliau.

Beliau turut berkata bahawa kuasa mahkamah syariah membabitkan jenayah adalah setara dengan kuasa “majistret kelas kedua”.

“Jadi jelas niat penggubal Perlembagaan pada 1957 adalah bahawa kesalahan syariah pada dasarnya adalah kesalahan kecil,” kata beliau.

Sementara itu, sarjana terkemuka Mustafa Akyol berkata, kewujudan “polis” agama tidak akan menjadikan masyarakat lebih alim atau soleh, begitu juga ketiadaan mereka tidak menjadikan masyarakat kurang soleh.

Akyol berkata di Turki, tidak ada undang-undang Islam untuk memantau, contohnya, sama ada seseorang itu berpuasa pada bulan Ramadan atau tidak, tetapi majoriti orang Turki akan berpuasa.

“Kerana seseorang itu akan berpuasa bukan untuk polis, tetapi untuk Tuhan.”

Beliau berkata, rakan sekerjanya di Teheran memaklumkan bahawa orang Iran kurang mengamalkan ajaran agama, berbanding dengan orang Turki walaupun Iran adalah sebuah negara Islam.

“Rakyatnya sudah muak dengan negara Islam. Dan sebilangan besar daripada mereka tidak lagi mengamalkan (ajaran Islam). Penegakan ketakwaan hanya membawa kepada kemunafikan, dan ini harus berakhir dalam dunia Islam.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.