Banyakkan guna tulisan jawi, Muhyiddin beritahu agensi kerajaan

Banyakkan guna tulisan jawi, Muhyiddin beritahu agensi kerajaan

Perdana menteri berkata, tulisan jawi adalah sebahagian daripada identiti negara yang perlu dipertahankan dan diperkasakan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menggalakkan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan syarikat korporat menggunakan tulisan jawi pada papan tanda, majlis atau perayaan.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berharap institusi penting dan utama, termasuk di peringkat kerajaan negeri serta badan bukan kerajaan, dapat memperbanyakkan penggunaan tulisan jawi.

Beliau turut menyeru agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan syarikat korporat, terutamanya milik kerajaan, menggunakan tulisan jawi, sama ada pada papan tanda, majlis atau perayaan.

“Saya berharap agar institusi-institusi utama seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, kerajaan negeri dan NGO akan bersama mempromosi aspek budaya dan warisan melalui aksara jawi kerana tentunya sebagai sebuah negara bangsa, kita tidak mahu kehilangan identiti.

“Dalam hal ini, semangat, roh serta perkembangan tulisan jawi ini mesti sentiasa dihidupkan,” kata beliau pada majlis pelancaran pameran Jawi Jiwa Bangsa, Seni Tonggak Budaya dan perasmian buku Budi Asas Tamadun.

Muhyiddin menyifatkan pameran itu langkah tepat yang perlu diperluaskan ke seluruh negara kerana jawi adalah sebahagian daripada identiti negara.

“Jawi ini sebahagian daripada identiti negara yang bukan sahaja perlu dipertahankan, tetapi diperkasakan kembali sebagai pemangkin kepada perpaduan melalui seni dan warisan.

“Ini bertepatan dengan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan yang menakrifkan Melayu itu hendaklah beragama Islam, bertutur secara lazim dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu.

“Istilah adat istiadat di situ adalah budaya Melayu dan usaha penganjur hari ini merupakan langkah mulia dalam memperjuangkan hak-hak asasi budaya dan warisan Melayu sebagai jati diri serta warisan nasional,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.