
Laporan oleh Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), bertajuk “Foundations and Donations: Political Financing, Corruption, and the Pursuit of Power”, berkata terdapat berapa yayasan tidak diaudit dan penderma yang tidak diketahui.
C4 dalam menyeru lebih ketelusan menggesa Akta Pembiayaan Politik dibentangkan di Parlimen secepat mungkin.
Menurut laporan itu, hasil carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan bekas perdana menteri Najib Razak terlibat dengan sembilan yayasan, antaranya Yayasan Noah, Yayasan Rahah, dan Yayasan 1MDB.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin terlibat dengan tujuh yayasan, dan dipercayai masih aktif dengan Yayasan Nurul Yaqeen dan TSM Charity Golf Foundation, kedua-duanya milik persendirian.
Laporan itu berkata, yayasan golf itu diiktiraf pada Mei 2010 dan diberi pengecualian cukai oleh Kementerian Kewangan pada 2011.
“Yayasan ini telah mengumpul sejumlah RM27 juta sumbangan sejak ditubuhkan pada 2003, dan menyalurkan sekitar RM24 juta kepada badan amal,” katanya.
Selain itu, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dikaitkan dengan Yayasan Aman untuk tujuan keagamaan, menurut laporan tersebut.
Pengajaran kes mahkamah
Dalam laporan itu, Edmund Terence Gomez, seorang profesor di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, berkata beberapa pengajaran dapat diambil daripada kes mahkamah semasa.
Kata beliau, ada beberapa yayasan dikendalikan oleh keluarga, dan ada yang dikendalikan oleh ahli politik.
Beliau berkata terdapat juga dakwaan salah guna kuasa, sumbangan untuk memperkayakan diri sendiri, dana rahsia untuk politik, membeli sokongan akar umbi, dan sumbangan haram, ditimbulkan.
Gomez berkata, walaupun Umno bawah Najib, dan Pakatan Harapan bawah Dr Mahathir Mohamad ada membangkitkan tentang keperluan untuk membentangkan undang-undang berkaitan pembiayaan politik, kedua-duanya menangguhkan pelaksanaannya.
“Perikatan Nasional membisu mengenai isu ini, walaupun Muhyiddin dalam ucapannya ada menekankan beliau akan menangani rasuah,” kata beliau.
Ketika melancarkan laporan tersebut hari ini, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, berkata dana RM100,000 yang diberi kepada wakil rakyat pembangkang tidak mencukupi kerana operasi bulanan boleh cecah RM30,000.
“Ahli Parlimen di kawasan bandar mungkin lebih mudah untuk mengumpulkan dana tetapi mereka yang berada di luar bandar mungkin merasa lebih mudah berpaling tadah sahaja (kepada parti pemerintah),” kata beliau.
Beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bekerjasama dengan C4 dan memastikan akaun yayasan diaudit.
Gomez, yang berada di majlis pelancaran itu berkata, laporan itu mungkin hanya menimbulkan sebahagian kecil daripada keadaan sebenar.
Katanya, terdapat “kelemahan yang serius dalam kebertanggungjawaban dan dan tiada iltizam politik” kerana Rang Undang-undang Pembiayaan Politik masih di Jabatan Peguam Negara.
Pengarah Eksekutif C4, Cynthia Gabriel, berkata, pembiayaan politik melalui yayasan sering kali terlepas daripada perhatian media dan kumpulan pendesak.
“Ada sebilangan yayasan tidak didaftarkan tetapi memperoleh jutaan ringgit.
“Bahkan firma undang-undang juga menjadi sebahagian daripada rangkaian tersebut,” kata beliau.
Cynthia berkata orang ramai juga perlu berhati-hati apabila menderma ke yayasan yang dikatakan untuk kebajikan atau keagamaan kerana bimbang ia mungkin dipergunakan.