
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hari ini mengumumkan negeri-negeri dan satu wilayah persekutuan itu akan berada bawah PKPB sehingga 28 April.
Manakala, PKPB di Sarawak akan bermula esok dan berlangsung hingga 26 April. Perjalanan merentas negeri masih tidak dibenarkan.
Sementara itu, PKP pemulihan (PKPP) di Perlis, Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya, Labuan, Perak, Negeri Sembilan (kecuali di Seremban) dan Kedah (kecuali di Kuala Muda) dilanjutkan mulai 15 hingga 28 April.
Kampung Meruntum di Sabah pula diletakkan bawah PKP diperketatkan (PKPD) mulai esok hingga 26 April ini susulan peningkatan kes di lokaliti itu, kata Ismail.
Dalam perkembangan lain, Ismail memaklumkan polis menahan 111 individu yang mengingkari arahan PKP semalam, dan antara mereka, 101 individu dikompaun manakala 10 direman.
Antara kesalahan yang direkodkan adalah aktiviti di pusat hiburan, tidak mendaftar masuk premis, tidak mengamalkan penjarakan fizikal, dan tidak memakai pelitup muka.