
Ketua kumpulan Gerak98, Mohamad Ezam Md Nor berkata, selain mematuhi syarat-syarat ketat ini, Umno juga perlu menerima semangat reformasi yang diperjuangkan PKR.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isi kandungan rakaman audio yang didakwa perbualan antara Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang tular baru-baru tentang kerjasama yang mahu dijalin antara dua parti itu.
Kata Ezam, tidak menjadi isu sekiranya rakaman audio tersebut tulen.
“Apa disebut Zahid tidak merosakkan (semangat) reformasi kerana dia perakui Anwar sebagai gurunya,” kata beliau pada sidang media bersama Otai Reformis di Restoran Amjal dekat sini.
“Setiap kenyataan dibuat tak bercanggah dengan semangat reformasi. Apa disebut Anwar pun tidak calar dan gadaikan reformasi.”
Terdahulu, satu rakaman audio yang mengandungi suara mirip Zahid dan Anwar didedahkan di media sosial.
Dilaporkan rakaman itu menyatakan ucapan Zahid pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 bulan lalu yang menolak kerjasama dengan Anwar, DAP dan PPBM hanya taktik.
Rabu lalu, Zahid menafikan wujudnya perbualan yang kononnya berlaku selepas perhimpunan tersebut.
Dalam kenyataan, beliau menyifatkan pendedahan dan penyebaran rakaman tersebut sebagai “usaha berterusan untuk melemahkan dan menghancurkan Umno”.
Anwar, dalam kenyataan berasingan, turut menafikan hal ini, malah mendakwa ia sebuah gerakan fitnah yang sengaja direka pihak tertentu menggunakan PKR untuk menyerang kepimpinan Umno.