
Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata sistem itu dijangka dapat mengawal selia majikan yang tidak membayar atau lewat membayar gaji pekerja di semua sektor yang sering menjadi isu di negara ini.
“Apabila kita amalkan sistem ‘e-wages’ ini dan dengan majikan diwajibkan membayar gaji sebelum 7 hari bulan setiap bulan, dan jika mereka tidak bayar, kita akan dapat maklumat awal,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Dermasiswa D’Sara Parlimen Tapah dan menyampaikan sumbangan Ramadan kepada Masjid dan Surau Parlimen Tapah di Kompleks Sukan Tapah di sini hari ini.
Saravanan berkata demikian ketika mengulas dakwaan terdapat majikan yang melaporkan kepada Jabatan Imigresen supaya membuat serbuan ke atas pekerja asing mereka sendiri bagi mengelak daripada membayar gaji pekerja.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada KDN yang bersetuju berkongsi platform sedia ada di kementerian berkenaan.
“Walaupun KSM dipertanggungjawabkan membela nasib pekerja sama ada rakyat tempatan atau asing, kita tidak (ada) akses menilai menggunakan platform sedia ada di KDN.
Dengan persetujuan berkongsi platform, maka apabila kita amalkan “e-wages”, kita akan dapat maklumat awal. Tidak perlu tunggu aduan daripada pekerja sebaik majikan mereka tidak bayar, kita akan dapat maklumat dan kita akan ambil tindakan,” jelasnya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai program berkenaan, Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata 100 murid Tahun 4 dipilih menyertai program dermasiswa berkenaan yang akan membiayai yuran sekolah mereka serta pelbagai pembelajaan melibatkan pendidikan sehingga tingkatan lima.
“Kesemua perbelanjaan ini akan ditanggung Pertubuhan Pendidikan Anak Tapah dan ia adalah usaha melahirkan pelajar cemerlang di Parlimen Tapah yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40),” katanya.
Beliau turut berharap program itu dapat diperluaskan di parlimen lain dengan bantuan Kementerian Pendidikan.
Selain itu, pada program yang sama, 16 masjid menerima peruntukan RM4,000 manakala 79 surau menerima RM1,800 di Parlimen Tapah.