Saya tak patut jadi mangsa, kata Tun Faisal selepas digantung keahlian Umno

Saya tak patut jadi mangsa, kata Tun Faisal selepas digantung keahlian Umno

Pemimpin Umno Putrajaya itu berkata, tidak ada alasan bagi penggantungannya, sambil mempersoalkan prosedur yang terlibat.

KUALA LUMPUR:
Bekas timbalan ketua Umno Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa, mungkin ada niat jahat dalam keputusan Umno untuk menggantung keahliannya selama enam tahun.

Beliau merasakan dirinya menjadi mangsa kerana “hanya meminta” presiden parti Ahmad Zahid Hamidi membuat pernyataan berkanun untuk menafikan tuduhan bahawa beliau telah menyokong tawaran Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri berikutnya.

Rakaman perbualan telefon baru-baru ini yang didakwa antara Zahid dan Anwar mungkin menyokong kritikan Faisal.

Faisal digantung keahlian sehari sebelum Perhimpunan Agung Umno (PAU2020) pada 27 Mac.

Katanya, tiada alasan bagi penggantungan itu kerana beliau hanya bersuara mengenai apa yang beliau rasa perlu dibangkitkan. Tambahnya, beliau tidak memfitnah Zahid.

Faisal juga meminta Zahid menjelaskan sama ada Umno berhasrat untuk bekerjasama dengan DAP atau Anwar dan membuat laporan polis serta mengambil tindakan undang-undang untuk membela diri terhadap tuduhan bahawa beliau menyokong Anwar.

“Itu bukan kritikan terbuka,” katanya dalam wawancara terbaru bersama FMT.

Beliau mendesak Umno mengkaji semula proses penggantungan ahli dari parti itu.

“Nampak seperti kerana ada yang terlepas dengan hukuman yang lebih ringan bagi jenayah yang lebih serius.

“Adakah kesalahan saya begitu besar sehingga digantung (keahlian) selama enam tahun? Ini merampas hak saya sebagai ahli untuk bertanding,” katanya.

Faisal, yang juga setiausaha akhbar Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa, berkata beliau akan berpeluang menjadi Ketua Umno Bahagian Putrajaya yang baharu sekiranya Tengku Adnan Tengku Mansor meletakkan jawatan kerana kes mahkamah.

“Adakah pihak-pihak berkepentingan hadir pada pertemuan ketika keputusan tersebut dibuat? Mungkin ada banyak kekurangan dalam cara keputusan (untuk menggantung saya) dibuat.

“Saya memohon kepada parti untuk membetulkan apa yang salah, untuk memperbaiki kesalahan mereka dalam cara keputusan dibuat.”

Laporan media mendakwa, Tengku Adnan menawarkan anaknya, Tengku Iqbal, untuk bertanding di kerusi Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang (PRU 15).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.