Sarawak benarkan berbuka puasa di hotel, restoran, dewan

Sarawak benarkan berbuka puasa di hotel, restoran, dewan

Kelonggaran ini hanya untuk kumpulan individu serta ahli keluarga terdekat yang telah membuat tempahan awal.

Hotel, restoran atau dewan yang menyediakan berbuka puasa mesti mematuhi syarat ditetapkan. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak membenarkan majlis berbuka puasa diadakan di hotel, restoran dan dewan sempena Ramadan kali ini berdasarkan syarat tertentu.

JPBN dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pengusaha hotel, restoran dan dewan yang ingin mengadakan perkhidmatan berbuka puasa wajib memaklumkan pihak berkuasa tempatan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian masing-masing sebelum dibenarkan beroperasi.

“Tempahan berbuka berkumpulan daripada agensi kerajaan dan swasta tidak dibenarkan. Hanya kumpulan individu serta ahli keluarga terdekat dibenarkan dengan melakukan tempahan awal manakala ‘walk-in’ tidak dibenarkan,” kata JPBN.

Menurut JPBN semasa majlis berbuka puasa berlangsung, pelanggan juga tidak dibenarkan menunggu dalam barisan dan hanya boleh membuat pesanan melalui menu atau makan makanan yang dihidang di meja masing-masing.

“Bilangan pelanggan hanya 50% daripada kapasiti restoran atau maksimum 300 orang untuk dewan atau hotel. Garis panduan terperinci boleh didapati di laman web Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak (https://mlgh.sarawak.gov.my),” kata kenyataan itu.

Sementara itu, pada hari ini terdapat 296 kes baharu jangkitan Covid-19 dikesan di Sarawak dengan empat kematian baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.