Penyelam Semporna rayu perjalanan antara negeri dibenar semula

Penyelam Semporna rayu perjalanan antara negeri dibenar semula

Pandemik dan sekatan pergerakan menjejaskan pendapatan Muhamad Amiruddin Shah Abd Nasir dan penyelam lain di Semporna.

Muhamad Amiruddin Shah Abd Nasir (kiri) bersama seorang rakannya ketika mereka masih bekerja sebagai penyelam. (Gambar Muhamad Amiruddin Shah)
KOTA KINABALU:
Sambil melemparkan pancingnya ke laut, Muhamad Amiruddin Shah Abd Nasir tertanya-tanya bilakah dia akan dapat kembali menyelam.

Amiruddin yang bekerja sebagai penyelam di sebuah syarikat tempatan daerah Semporna sejak 2017 hilang mata pencarian sebaik wabak Covid-19 melanda negara.

Syarikat itu terpaksa memberhentikan Amirudin dan kebanyakan rakan penyelamnya pada Mac tahun lalu selepas pelancong tidak lagi datang berikutan penutupan sempadan negara kerana perintah kawalan pergerakan (PKP).

Dia kembali ke pekerjaan lamanya, sebagai seorang nelayan untuk menyara isteri dan dua anak kecilnya.

“Itu satu-satunya perniagaan yang saya tahu buat,” kata penyelam handal berusia 28 tahun itu kepada FMT.

Katanya, ramai penyelam di Semporna berdepan nasib sama selepas industri pelancongan terhenti akibat pandemik.

Keadaan bertambah baik sedikit semasa tempoh PKP pemulihan tahun lalu apabila pelancong mula kembali tetapi masih belum cukup untuk membantunya kembali menyelam.

“Inilah sebabnya mengapa kami berharap kerajaan sekali lagi membenarkan perjalanan antara negeri kerana sebahagian besar tetamu kami berasal dari semenanjung. Penyelam dari Sabah juga ada tetapi mereka hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan pelancong yang datang.

“Membenarkan perjalanan antara negeri akan sangat membantu kami dapat bekerja semula.

“Saya dan rakan-rakan sangat terdesak. Saya tidak mahu lagi sembunyikan perasaan ini kerana itulah hakikatnya, ramai yang terjejas,” katanya.

Amiruddin (kanan) bersama rakan penyelam suatu ketika dulu.

Amiruddin berkata, bekas syarikatnya memberitahu berkemungkinan mereka akan diambil bekerja semula selepas keadaan bertambah baik. Tetapi dia tidak terlalu optimis bahawa hari itu akan tiba dalam masa terdekat.

“Melihat kepada kadar jangkitan semasa, saya bimbang keadaan ini memerlukan satu atau dua tahun lagi untuk kembali pulih.

“Kami biasa dapat banyak kumpulan menyelam, terutama dari luar negara dan semenanjung, dan boleh dikatakan pendapatan saya adalah lebih daripada cukup ketika itu. Tips yang mereka beri juga banyak,” katanya.

Tetapi kini dia perlu bertahan dengan rezeki yang diperolehnya dari laut, itu pun jika cuaca mengizinkan. Kadangkala, dia akan bekerja sambilan dengan mengikut pukat tunda, itu pun jika mereka tidak mempunyai pekerja yang mencukupi.

“Kalau ada ribut di laut seperti sekarang, saya tidak boleh keluar memancing,” katanya.

“Saya boleh dapat antara RM20 hingga RM30 sehari, paling tinggi RM50, dengan menjual hasil tangkapan saya kepada penjual ikan di pasar.

“Hidup saya dan keluarga kini tak ubah seperti ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’,” kata Amiruddin.

Tambahnya, semua wang simpanannya telah habis digunakan untuk menjaga keluarga, terutama ketika isterinya hamil dengan anak perempuan mereka yang kini berusia dua bulan.

Katanya masih ada penyelam yang bekerja dengan syarikat di Semporna tetapi jumlahnya terlalu kecil dan mereka hanya diambil bekerja secara sambilan.

Presiden Kelab Profesional Penyelam Semporna, Abdul Razak Ismail berkata, ramai penyelam berdepan masalah itu. Untuk bertahan, kebanyakan mereka kembali memancing atau membuka gerai kecil.

Beliau bersetuju dengan pembukaan semula perjalanan antara negeri akan sangat membantu kumpulan mereka untuk kembali bangkit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.