Hanya 3 lokasi dibenar agih makanan gelandangan ketika Ramadan, kata DBKL

Hanya 3 lokasi dibenar agih makanan gelandangan ketika Ramadan, kata DBKL

Tiga lokasi itu adalah Pusat Transit Gelandangan Jalan Pahang; Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku dan Pusat Pembelajaran Komuniti Jalan Chow Kit.

Sebanyak 510 gelandangan ditempatkan sementara di 4 dewan serba guna di sekitar Kuala Lumpur bagi membendung penularan wabak Covid-19 pada April tahun lalu.
KUALA LUMPUR:
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana individu dilarang mengagihkan sumbangan makanan kepada gelandangan secara terus di sekitar pusat bandar raya sepanjang bulan Ramadan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan semalam memaklumkan kawal selia itu dilaksanakan bagi mengelak berlaku pembaziran dan kekotoran, selain mengekang penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, DBKL berkata pengagihan makanan masih boleh diteruskan melalui dua pusat gelandangan iaitu di Pusat Transit Gelandangan Jalan Pahang dan Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tunku, selain satu pusat komuniti iaitu Pusat Pembelajaran Komuniti, Chow Kit.

“DBKL mendapati terdapat banyak pihak sama ada NGO, kumpulan atau individu yang mengagihkan makanan di lokasi-lokasi ‘hotspot’ gelandangan di pusat bandar antaranya sekitar Masjid Jamek, Pasar Seni dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

“Keadaan ini telah menimbulkan gangguan, ketidakselesaan kepada pemilik premis dan menunjukkan persepsi negatif masyarakat terhadap DBKL. Aktiviti pemberian makanan kelihatan tidak dapat dikawal terutama ketika bulan Ramadan,” menurut kenyataan itu.

Menurut DBKL orang ramai yang ingin menyumbang perlu menghubungi talian 03-2617 6321 terlebih dahulu bagi tujuan penjadualan agihan, dan mereka yang gagal mematuhi arahan yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.