Hamzah sedia strategi pertahan kerusi Parlimen Larut

Hamzah sedia strategi pertahan kerusi Parlimen Larut

Setiausaha Agung PPBM itu berkata beliau tidak kisah jika Umno mahu meletakkan calon di kerusi Parlimen itu.

Hamzah Zainudin berkata PPBM sedia mengadakan perbincangan mengenai agihan kerusi dan calon sekiranya Umno mahu bekerjasama bersama parti itu dan PAS.
LARUT:
Setiausaha Agung PPBM Hamzah Zainudin sudah bersedia dengan strategi sekiranya terpaksa menghadapi Umno Perak bagi mempertahankan kerusi Parlimen Larut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata ia merupakan amalan biasa dalam politik untuk setiap parti bertanding meletakkan calon dan mengatur strategi masing-masing bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sebagai amalan demokrasi, katanya, beliau tidak kisah jika Umno mahu meletakkan calon di kerusi Parlimen Larut manakala Perikatan Nasional (PN) akan bekerjasama dengan PAS dan parti gabungannya untuk memilih calon berintegriti untuk diketengahkan pada PRU15 nanti.

Bagaimanapun, Hamzah, yang juga menteri dalam negeri, berkata pihaknya sedia mengadakan perbincangan mengenai agihan kerusi dan calon sekiranya Umno mahu bekerjasama bersama PPBM dan PAS.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Malaysia Prihatin Kementerian Dalam Negeri bersama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Dewan Semai Bakti, Felda Ijok, Selama, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Saarani Mohamad yang sebelum ini berkata pihaknya tidak akan menyerahkan lima kerusi yang dimenanginya pada PRU14 untuk ditandingi parti lain pada kali ini.

Katanya, semua kerusi tersebut diperuntukkan kepada Umno, namun wakil rakyatnya bertindak meninggalkan parti itu selepas PRU14 dan menyertai parti lain.

Lima kerusi berkenaan ialah tiga kawasan Parlimen iaitu Larut, Bagan Serai dan Bukit Gantang serta dua kawasan DUN iaitu Tualang Sekah dan Sungai Manik.

Pada PRU14, 2018, Hamzah menang kerusi Parlimen Larut atas tiket Barisan Nasional (BN) selepas mengalahkan calon PAS, Abu Husin Mohamad dengan majoriti undi sebanyak 4,486.

Selepas itu, beliau keluar dari Umno dan menyertai PPBM pada 2019.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.