
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah berkata dalam serbuan kira-kira 8.30 malam itu, seramai 24 pengunjung termasuk tujuh wanita, seorang pemilik premis, empat pekerja warga Bangladesh serta lapan wanita pelayan pelanggan (GRO) warga Thailand berusia antara 20 hingga 50 tahun, ditahan.
Menurutnya, semakan mendapati premis dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) itu mempunyai lesen sah yang dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan hanya membenarkan pelanggan tetap untuk masuk.
“Pemilik pusat hiburan dikompaun RM25,000 dan 24 pengunjung dikompaun RM5,000 (setiap seorang) kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) dengan menjalankan perniagaan ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) serta dikompaun mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.4) 2021,” katanya dalam kenyataan.
Mohamad Zainal berkata empat pekerja warga Bangladesh serta seorang GRO warga Thailand ditahan kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan sah manakala tujuh lagi GRO warga Thailand yang turut ditahan kerana dipercayai memiliki permit dan dokumen perjalanan memasuki Malaysia palsu.