Warga Nigeria terus ditahan, perbicaraan tangguh minggu depan

Warga Nigeria terus ditahan, perbicaraan tangguh minggu depan

Hakim menyoal timbalan pendakwa raya tentang penahanan Momoh, yang ditahan selama 26 hari, walaupun mahkamah mengenakan hukuman penjara 'simbolik' selama sehari.

Low Kar Hui (tengah) bersama peguam V Vemal Arasan.
SHAH ALAM:
Mahkamah Tinggi menangguhkan perbicaraan mengenai penahanan warga Nigeria, Simon Adavize Momoh, yang tetap dipenjara walaupun membayar denda bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk, ke minggu depan.

Hakim Ab Karim Ab Rahman menetapkan perbicaraan pada Khamis depan kerana Jabatan Peguam Negara (AGC) meminta masa untuk membalas afidavit Momoh.

Karim turut menyoal timbalan pendakwa raya tentang penahanan Momoh, kerana hukuman penjara sehari yang dikenakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hanyalah “simbolik”.

Peguam Momoh, V Vemal Arasan, mengemukakan permohonan habeas corpus pada 1 April, dengan menamakan imigresen, Jabatan Penjara, dan Kementerian Dalam Negeri sebagai responden.

Susulan penangguhan perbicaraan itu, Vemal berkata mereka akan menunggu jawapan AGC pada Khamis untuk tindakan lanjut.

“Hakim sendiri berkata (hukuman Momoh) satu hari adalah ‘pemenjaraan simbolik’, bukan untuk menahannya. Sekarang sudah 26 hari, jadi ternyata ini melanggar kebebasan asasinya.

“Kami akan terus memperjuangkan kes ini,” kata peguam itu.

Momoh, yang berkahwin dengan warga Malaysia sejak lapan tahun lalu dan mempunyai visa yang sah, ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Cheras pada awal pagi 15 Mac, kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk.

Beliau mengaku bersalah di mahkamah pada hari yang sama, membayar denda RM12,000, dan isterinya, Low Kar Hui, diberitahu dia akan dibebaskan pada 5 petang.

Namun, hampir sebulan kemudian, beliau masih ditahan di pusat tahanan imigresen Semenyih.

Pihak berkuasa turut menolak akses kepada Vemal dan Low untuk bertemu Momoh, atas alasan sekatan Covid-19.

Momoh dijangka terus ditahan sekurang-kurangnya sehingga perbicaraan berikutnya.

Momoh sebelum ini ditahan di Penjara Kajang, dikatakan untuk ujian calitan Covid-19.

Beliau menghidap darah tinggi dan tidak mempunyai akses kepada ubatnya.

Low, yang hadir di Mahkamah Tinggi hari ini, beritahu wartawan bahawa penahanan Momoh memberi kesan buruk ke atas pekerjaannya, keluarga, dan kesihatan mental dua anak mereka.

“Ia juga beri tekanan yang amat sangat ke atas kewangan kami. Saya harap dia segera dibebaskan agar kami dapat menjalani kehidupan normal,” katanya.

Low ditemani wakil Suruhanjaya Tinggi Nigeria; pengasas bersama Kumpulan Sokongan Pasangan Asing (FSSG), Bina Ramanand; dan pengurus program Family Frontiers Melinda, Anne Sharlini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.