

Bekas ahli akademik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Azmi Hassan berkata, isu tersebut juga akan dijadikan modal oleh segelintir pihak dalam Umno bagi mendesak Zahid meletak jawatan.
“Ini adakah tekanan terbaru yang dihadapi presiden Umno. Kalau perbualan telefon itu benar, ia boleh disifatkan sebagai tekanan agak besar yang sukar dielakkan.
“Sama ada Zahid berundur atau tidak, bergantung kepada beliau sendiri,” kata Azmi.

Bagi Salawati Mat Basir dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula, kontroversi terbaru itu, sekalipun dinafikan Zahid, akan mengakibatkan Umno berpotensi hilang kepercayaan rakyat.
Kata beliau, sekiranya rakaman audio itu tulen, pilihan yang Zahid ada adalah memberi laluan kepada individu lain untuk memimpin Umno bagi menarik kembali sokongan rakyat kepada parti Melayu itu dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Kalau ada pemimpin berpengaruh dalam Umno sendiri yang sudah bersuara (minta Zahid berundur), jika video itu tulen, sewajarnya beliau berundur dan Umno perlu dipimpin oleh kepimpinan baharu.
“Bila parti bergolak, maka ia tidak akan dapat kepercayaan rakyat. Kalau dalam parti sendiri bergaduh, macam mana rakyat nak terima Umno?
“Hal ini, bagi saya, perlu kewarasan mereka untuk memperbetulkan parti lebih cepat supaya rakyat boleh menilai. Sekarang ini dalam Umno, mereka tunjuk macam-macam (masalah), rakyat pun sudah mula bosan,” kata beliau.
Walaupun majoriti akar umbi Umno masih kuat menyokong Zahid kekal sebagai presiden, isu rakaman audio tersebut melibatkan soal integriti sebagai ketua parti, kata Salawati.
“Kalau beliau ada maruah, beliau sepatutnya berundur, tetapi kalau rasa masih perlu pegang jawatan, yang akan terima masalahnya adalah Umno,” kata beliau.

Sementara itu, bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia, Ahmad Atory Hussain berpandangan, Umno perlu berani merombak pucuk pimpinannya bagi memastikan parti itu kembali kuat.
“Betul, presiden dipilih secara demokratik tiga tahun lalu, tapi ketika itu, ahli tidak dapat jangka sama ada presiden akan membuat dasar yang bertentangan dengan aspirasi parti.
“Jalan terbaik untuk kekalkan kestabilan parti adalah (supaya) presiden berundur secara sukarela atau ‘diundurkan’ oleh ahli mengikut perlembagaan parti,” kata beliau.
Atory menyarankan agar Umno muhasabah diri bahawa ia tidak mampu bergerak solo dalam pilihan raya umum akan datang memandangkan musuhnya kini berada di segenap penjuru.
“Baik Umno sertai PN (Perikatan Nasional). Sekurang-kurangnya, Umno boleh bertahan bagi memperbaiki diri untuk masa akan datang,” kata beliau.
Zahid, yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, terpalit dengan kontroversi baru-baru ini susulan tersebarnya rakaman perbualan telefon yang didakwa mengandungi suara mirip beliau membincangkan dengan Anwar apa yang berlaku pada Perhimpunan Agung Umno akhir bulan lalu.
Susulan pendedahan rakaman tersebut, beberapa pemimpin Umno menegaskan Zahid perlu berundur sekiranya rakaman itu tulen.
Malah tokoh veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat, sekiranya rakaman itu terbukti tulen, Zahid tidak lagi layak memimpin parti.
Sementara itu, bekas setiausaha agung Barisan Nasional, Annuar Musa menegaskan rakaman video itu tulen.
“Saya cuba mendengarnya 10 kali, saya rasa saya boleh cam suara itu dan yakin 100% ia tulen,” kata beliau.
Selain kontroversi terbaru ini, Zahid juga pernah dikaitkan dengan surat sokongan menyokong Anwar sebagai perdana menteri sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati parti komponen BN, termasuk MIC.