Kes rasuah Rosmah: Sri Ram kekal dalam pasukan pendakwaan

Kes rasuah Rosmah: Sri Ram kekal dalam pasukan pendakwaan

Pelantikan beliau telah disahkan dalam keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2019, kata TPR Ahmad Akram Gharib.

Pelantikan Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes rasuah Rosmah Mansor telah disahkan dalam keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2019.
PETALING JAYA:
Gopal Sri Ram akan terus memimpin pasukan pendakwaan di kala Rosmah Mansor membela dirinya dalam perbicaraan rasuah awal Jun ini, kata timbalan pendakwa raya (TPR) Ahmad Akram Gharib hari ini.

Kata beliau, tiada apa-apa akan berubah, selepas beliau mengaku mengemukakan surat pelantikan Sri Ram kepada peguam Rosmah, yang telah membuat rayuan di Mahkamah Rayuan berkenaan hal ini.

“Pelantikan Sri Ram sebagai TPR telah disahkan dalam keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2019,” kata Akram kepada FMT hari ini, sebagai respons terhadap pengamatan Mahkamah Rayuan semalam yang mendapati dokumen tersebut tidak memenuhi dua daripada tiga syarat yang diminta peguam Rosmah.

Selanjutnya, beliau berkata pihak pendakwaan akan memberi maklum balas terhadap sebarang tindakan yang dimulakan Rosmah di Mahkamah Tinggi.

“Pelantikan Sri Ram kekal. Kami akan menangani apa sahaja permohonan yang difailkan (Rosmah),” kata beliau, sambil menambah keputusan Mahkamah Rayuan semalam tidak mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Hakim Suraya Othman yang mengetuai panel tiga hakim berkata, surat pelantikan itu tidak bertarikh pada atau sebelum 15 Nov 2018, hari Rosmah didakwa di mahkamah dan tidak ditandatangani oleh Peguam Negara ketika itu, Tommy Thomas.

Sebaliknya, beliau berkata, surat itu bertarikh 8 Julai tahun lalu dan ditandatangani Peguam Negara sekarang, Idrus Harun.

Akram telah bersetuju untuk memberikan salinan surat pelantikan Sri Ram untuk mengetuai pasukan pendakwaan menjelang Isnin. Peguam Rosmah telah berusaha untuk melihat surat itu tetapi ia ditolak Mahkamah Tinggi.

Ogos lalu, hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan Rosmah bagi memaksa Sri Ram mengemukakan lesennya untuk meneruskan pendakwaan.

Zaini berkata pelantikan itu dibuat oleh Thomas, dan tiada keterangan yang menunjukkan sebaliknya.

Pasukan pembelaan Rosmah, yang diketuai peguam Jagjit Singh, sebelum ini memohon mahkamah supaya melihat tarikh surat pelantikan tersebut dan siapa yang menandatanganinya, selain sama ada surat itu mengandungi butir-butir berkaitan tuduhan terhadap Rosmah.

Di luar mahkamah, Jagjit memberitahu pemberita bahawa ketika Rosmah didakwa, tiada surat pelantikan untuk Sri Ram bertindak sebagai TPR kanan.

Jagjit berpandangan, tingkah laku Sri Ram sepanjang kes pendakwaan batal kerana beliau tidak pernah dilantik.

“Isunya sekarang adalah sama ada kami akan memohon perbicaraan semula,” kata Jagjit, seperti dipetik Bernama.

Rosmah, 69, dituduh meminta suapan RM187.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, melalui pembantunya ketika itu, Rizal Mansor, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar melalui rundingan langsung dengan Kementerian Pendidikan.

Rosmah turut didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.

Kes pembelaan akan didengar pada 9, 10, 15, 16, 17, 22 dan 23 Jun, dan 12 dan 15 Julai.

Kata Jagjit, pihak pembelaan akan memanggil lima atau enam saksi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.