Fomca cadang tubuh tribunal perubatan, tetapi ‘tidak begitu mudah’, kata pakar

Fomca cadang tubuh tribunal perubatan, tetapi ‘tidak begitu mudah’, kata pakar

Tribunal berkenaan boleh ditempatkan di bawah naungan KKM dan individu yang gagal menyelesaikan aduan mereka boleh membawanya ke mahkamah.

Fomca berkata, tribunal perubatan membolehkan golongan yang tidak menyediakan peguam mendapat pembelaan atas aduan mereka. (Gambar Rawpixel)
GEORGE TOWN:
Sebuah badan pengguna menggesa kerajaan menubuhkan tribunal perubatan bagi menangani aduan kecuaian dan perkara lain berkaitan perkhidmatan yang diberi oleh penyedia khidmat penjagaan kesihatan.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkata, tribunal tersebut akan membolehkan individu yang tidak mampu mengambil peguam mendapat pembelaan berhubung aduan mereka.

Presidennya Marimuthu Nadason berkata, Pusat Aduan Pengguna Kebangsaan yang dikendalikan oleh Fomca menerima banyak aduan, tetapi ia tidak dapat ditangani kerana melibatkan isu yang memerlukan input daripada pakar atau pihak hospital sendiri.

“Biasanya kami membantu pengguna yang mempunyai isu berkaitan perubatan dengan menulis surat kepada Kementerian Kesihatan (KKM) atau penyedia khidmat penjagaan kesihatan terbabit,” katanya.

Marimuthu Nadason.

“Kebanyakan pengadu berasa tertipu atau diberi layanan tidak adil, jadi sebuah tribunal perubatan adalah kaedah terbaik untuk mereka mendapatkan pembelaan.

Beliau berkata, tribunal berkenaan boleh ditempatkan di bawah naungan KKM dan individu yang gagal menyelesaikan aduan mereka boleh membawanya ke mahkamah.

“Ia juga mengurangkan beban sistem kehakiman dengan kes mengambil masa beberapa tahun untuk diselesaikan,” katanya.

Marimuthu berkata, tribunal pengguna sedia ada tidak mampu menampung tuntutan perubatan yang tinggi, justeru tribunal perubatan yang dicadangkan itu harus menetapkan siling tuntutan sehingga sekurang-kurangnya RM3 juta.

Tidak begitu mudah, kata peguam

Bagaimanapun dua peguam yang mengkhusus dalam undang-undang berkaitan perubatan berkata, walaupun idea tribunal perubatan kelihatan “baik dari segi semangatnya”, namun ia tidak mudah dicapai.

PA Sharon berkata, sistem mahkamah sedia ada merupakan pilihan terbaik bagi menyelesaikan kes kecuaian atau aduan terhadap doktor atau hospital.

Beliau berkata, tribunal perubatan perlu diketuai oleh kumpulan pakar yang berbeza-beza setiap kali sesuatu kes didengar.

Selain itu katanya, doktor terikat bukan sahaja dengan Akta Perubatan 1971 dan peraturan subsidiari lain, tetapi juga Akta Pengguna dan Akta Jualan Barangan dan sebagainya dalam sesuatu kes.

Sharon berkata, sebaliknya aduan boleh dibuat kepada Majlis Perubatan Malaysia (MMC) berhubung kecuaian teruk, tetapi tidak terdapat ganjaran kewangan kepada pengadu.

Berhubung kos yang tinggi untuk membawa kes kecuaian ke mahkamah, beliau berkata, ia boleh diatasi dengan mendapatkan khidmat peguam bantuan guaman atau menandatangani perjanjian fi bersyarat.

“Majlis Peguam boleh menimbangkan penggunaan model fi bersyarat seperti yang diguna pakai di England dan Wales,” katanya dengan menjelaskan bahawa fi guaman biasanya bersesuaian dengan amaun tuntutan yang diperolehi.

Dalam pada itu, seorang peguam lain berkata, Parlimen perlu meluluskan undang-undang bagi mewujudkan tribunal perubatan, sementara undang-undang berkaitan seperti Akta Perubatan perlu dipinda.

Peguam kanan yang enggan dikenali itu juga berkata, sebuah tribunal perubatan baharu akan menelan kos tinggi kerana pelbagai kumpulan pakar yang berbeza perlu berada dalam panel untuk mendengar sesuatu kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.