6 lagi ditahan dalam sindiket pas kerja palsu

6 lagi ditahan dalam sindiket pas kerja palsu

Mereka termasuk dua pegawai imigresen yang dikatakan telah menerima rasuah.

PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam lagi suspek, termasuk dua pegawai imigresen, kerana disyaki terlibat dalam sindiket yang mengeluarkan pas lawatan kerja sementara (PLKS) palsu.

Kedua-dua pegawai berusia 34 dan 42 tahun itu, dipercayai menerima rasuah, kata sumber yang dekat dengan siasatan kepada FMT.

Empat lagi suspek, berumur antara 35 dan 39 tahun, adalah kakitangan sebuah syarikat penyediaan sistem.

Penahanan itu turut membawa kepada penemuan komputer milik Jabatan Imigresen. Komputer-komputer ini dilengkapi dengan peranti penggodam dan perisian untuk memasuki Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

SPRM turut merampas beberapa komputer dan alat elektronik dari Jabatan Imigresen, termasuk komputer riba dan cakera keras luaran milik salah seorang kakitangan syarikat penyediaan sistem tersebut.

Sumber itu juga berkata SPRM telah mengenal pasti empat hotel di Kuala Lumpur di mana sindiket ini beroperasi.

Ketika dihubungi, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut.

“Kami memandang serius masalah ini kerana ia melibatkan keselamatan negara,” katanya.

Penahanan itu berlaku beberapa hari selepas SPRM melumpuhkan sindiket itu dan menangkap lima individu, termasuk seorang Datuk, yang mengetuainya, serta seorang bekas pegawai imigresen.

Sejak penahanan itu, pihak berkuasa turut membekukan RM9.9 juta yang disimpan dalam 147 akaun bank, milik 30 individu dan 11 syarikat.

Mereka turut merampas 30 hartanah bernilai lebih RM11 juta dan 66 kenderaan dengan nilai keseluruhan mencecah RM13.7 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.