4 direman palsu dokumen untuk dapatkan tender kerajaan RM3.7 juta

4 direman palsu dokumen untuk dapatkan tender kerajaan RM3.7 juta

Individu yang direman dipercayai menggunakan cap bank dan tandatangan pegawai bank palsu, selain menggunakan penyata akaun bank palsu.

Empat suspek itu dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh untuk direman hari ini. (Gambar Bernama)
IPOH:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mereman empat individu selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes memalsukan dokumen untuk mendapatkan projek tender kebersihan bernilai lebih RM3.7 juta sejak 2017 hingga tahun lalu.

SPRM Perak dalam kenyataan berkata, dua lelaki dan dua wanita berusia 41 hingga 49 tahun itu sebelum ini ditahan di sekitar Taiping, Perak dan Bandar Baharu, Kedah kira-kira 8 pagi semalam.

Kes itu melibatkan dua syarikat yang masing-masing cuba mendapatkan tender bernilai RM1.6 juta dan RM2.1 juta, kata SPRM.

Tambah SPRM, dua syarikat itu menggunakan cap bank dan tandatangan pegawai bank palsu serta mengemukakan penyata akaun bank palsu bagi mendapatkan tender kebersihan bangunan dan kawasan di bawah jabatan kerajaan bagi tempoh 2017 hingga 2020.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus di mahkamah majistret di sini hari ini selepas membenarkan permohonan reman oleh SPRM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.