Saya keluar DAP ‘demi lindungi imej parti’, kata ADUN Teratai

Saya keluar DAP ‘demi lindungi imej parti’, kata ADUN Teratai

Lai Wai Chong berkata, beliau meninggalkan parti itu untuk mengelakkan ia diserang atau terjejas kerana masalah peribadinya.

Lai Wai Chong akan menjadi wakil rakyat bebas yang mesra DAP dan Pakatan Harapan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
ADUN Teratai, Lai Wai Chong meletak jawatan sebagai ahli DAP untuk melindungi imej parti itu, setelah dibelenggu dakwaan mempunyai hubungan sulit.

Beliau berikrar akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat bebas yang mesra DAP dan Pakatan Harapan.

“Saya tidak mahu parti yang saya sayangi diserang atau terjejas kerana masalah peribadi saya, oleh itu saya memutuskan untuk berundur.

“Saya tetap mendiamkan diri berhubung serangan peribadi dan dakwaan sesetengah akaun media sosial palsu demi menjaga perasaan isteri, anak dan ahli keluarga saya.

“Pada awalnya, saya fikir dengan melepaskan semua jawatan dalam parti, saya boleh menghentikan isu itu. Tetapi, ia tidak berjaya dan sebaliknya membabitkan parti saya,” kata beliau.

Lai didakwa mempunyai hubungan sulit dan meletak jawatan sebagai setiausaha organisasi DAP Selangor minggu lalu.

Beliau memohon maaf kerana merosakkan reputasi parti.

Lai mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin dan ahli DAP atas sokongan mereka sejak menyertai parti itu pada 2012 serta memberi peluang untuk beliau bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 pada 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.