Ringgit dibuka rendah susulan ekonomi AS bertambah baik

Ringgit dibuka rendah susulan ekonomi AS bertambah baik

Pada Rabu, Rizab Persekutuan AS mengeluarkan minit bagi mesyuarat pada Mac, dengan memaklumkan dasar yang akomodatif dilaksanakan.

Penganalisis berkata, walaupun terdapat dorongan positif dalam pasaran bon tempatan, namun ringgit mencari pemangkin baharu.
KUALA LUMPUR:
Ringgit rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semasa awal dagangan pada Khamis selepas Rizab Persekutuan AS (Fed) menunjukkan ekonomi negara maju itu terus bertambah baik.

Bagaimanapun sentimen positif di pasaran bon tempatan menyokong ringgit.

Justeru, unit tempatan diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding dengan mata wang utama lain semasa dagangan dibuka.

Pada 9.01 pagi, ringgit berada pada 4.1350/1410 berbanding dolar AS daripada 4.1300/1330 ketika ditutup pada Rabu.

Pada Rabu, Fed mengeluarkan minit bagi mesyuarat yang diadakan pada Mac, dengan memaklumkan dasar yang akomodatif dilaksanakan.

Ringkasan mesyuarat itu menunjukkan walaupun pegawai mendapati ekonomi sedang berkembang dengan ketara, mereka juga berpandangan kemajuan yang lebih banyak adalah diperlukan sebelum perubahan dasar lebih longgar ditetapkan.

Sementara itu, ketua pakar strategi pasaran global Axi, Stephen Innes berkata, walaupun terdapat dorongan positif dalam pasaran bon tempatan, namun ringgit mencari pemangkin baharu.

Beliau berkata, di samping itu ringgit juga tidak menentu susulan pergerakan meluas dolar AS dalam negara G-10, selain tekanan daripada harga minyak mentah.

Ringgit tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0817/0873 daripada 3.0828/0857 ketika ditutup pada Rabu dan rendah berbanding yen kepada 3.7666/7731 daripada 3.7607/7645.

Unit tempatan turut meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6798/6885 daripada 5.7072/7122 dan stabil berbanding euro kepada 4.9058/9133 daripada 4.9077/9125.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.