Rakaman audio: Anwar dakwa wujud gerakan guna beliau, PKR, serang Umno

Rakaman audio: Anwar dakwa wujud gerakan guna beliau, PKR, serang Umno

Anwar turut mengarahkan pegawainya membuat laporan polis supaya siasatan dilakukan mencari dalang fitnah tersebut.

Presiden PKR Anwar Ibrahim menafikan bahawa beliau adalah pemilik suara yang dirakam dalam perbualan telefon dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang tular semalam.
PETALING JAYA:
Selepas Ahmad Zahid Hamidi, kini giliran Presiden PKR, Anwar Ibrahim pula menafikan bahawa beliau adalah pemilik suara yang dirakam dalam perbualan telefon dengan presiden Umno itu.

Ketua pembangkang itu turut mendakwa gerakan fitnah tersebut sengaja direka pihak tertentu menggunakan PKR untuk menyerang pimpinan Umno.

“Ini nak gunakan kita, nak lawan politik dalam Umno, nak gunakan kononnya perbualan saya dengan Zahid untuk politik Bersatu (PPBM) nak menikam pimpinan Umno. Ini bukan kerja saya.

“Kita tak mudah tergugat dengan fitnah ini. Zahid pagi tadi (semalam) menafi keras, saya pada malam ini ingin menyatakan bukan saja penafian, tetapi ternyata ia menunjukan betapa gundah gulana pimpinan negara mencari apa sahaja tipu helah.

“Dia ugut, beli orang, rasuah tak makan, maka mereka sebarkan fitnah,” katanya ketika berucap semasa melancarkan bilik operasi PKR di Selangor malam tadi.

Anwar turut mengarahkan pegawainya membuat laporan polis mengenainya.

“Siasat siapa punca. Tapi ada suara macam saya, saya tak peduli, nyata ada usaha untuk menfitnah,”katanya.

Semalam satu rakaman video dan audio didakwa mirip suara Zahid dan Anwar tular di media sosial.

Dilaporkan rakaman itu, antara lain menyebut ucapan Zahid pada Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU2020) baru-baru ini yang menolak kerjasama dengan pembangkang hanya taktik.

Zahid kemudian menafikan rakaman itu selain memaklumkan bahawa tiada sebarang perbualan antara beliau dengan Anwar selepas perhimpunan agung parti itu baru-baru ini.

Dalam kenyataannya Zahid berkata, rakaman audio yang disebarkan itu adalah “usaha berterusan” untuk melemahkan dan menghancurkan Umno.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.