Pesta Kaamatan pada musim pandemik, artis Sabah terkesan

Pesta Kaamatan pada musim pandemik, artis Sabah terkesan

Artis tempatan sebelum ini kerap dijemput untuk membuat persembahan bagi memeriahkan lagi suasana Pesta Kaamatan.

Sejak penularan wabak Covid-19, Pesta Kaamatan, yang merupakan antara produk pelancongan utama dan ‘lubuk rezeki’ artis di Sabah menjadi suram. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Pesta Kaamatan sememangnya antara perayaan yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat di Sabah setiap tahun khususnya bagi kaum Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR).

Walaupun jatuh pada 30 dan 31 Mei, namun perayaan itu sebenarnya disambut sepanjang bulan itu dengan 1 Mei sebagai hari pembukaan seterusnya ia diraikan di setiap daerah sehinggalah kemuncaknya pada penghujung bulan.

Selain menjadi antara produk pelancongan di Sabah, Pesta Kaamatan juga boleh dikatakan sebagai ”lubuk rezeki” untuk artis tempatan.

Kebiasaannya, artis tempatan kerap dijemput untuk membuat persembahan bagi memeriahkan lagi suasana Kaamatan, selain menjadi juri bagi pertandingan nyanyian atau lebih dikenali sebagai ”Sugandoi”.

Bagaimanapun selepas pandemik Covid-19 melanda negara tahun lalu, keseronokan sambutan Kaamatan menjadi suram buat mereka.

Tiada lagi jemputan membuat persembahan, tiada lagi panggilan untuk menjadi juri ”Sugandoi”, kalau ada pun hanya beberapa sahaja dan itu pun secara dalam talian.

S Welly.

Seorang artis tempatan, S Welly, berkata, sebelum penularan wabak Covid-19 di negara ini, bulan Mei adalah waktu paling sibuk baginya pada setiap tahun.

Katanya, tawaran untuk membuat persembahan atau menjadi juri tidak pernah putus sehinggalah Kaamatan melabuhkan tirainya pada penghujung Mei.

”Kadang-kadang dalam seminggu ada dua atau tiga jemputan, sama ada sambutan di peringkat daerah mahupun yang dianjurkan oleh kampung-kampung atau pihak lain.

”Bagaimanapun pada tahun lalu, keadaan berubah sama sekali, ”job” sangat kurang, sambutan kecil-kecilan pun tiada apa lagi besar-besaran.

“Apapun, saya masih bersyukur kerana ada juga jemputan menjadi juri pertandingan ”Sugandoi” walaupun secara ”online”,” katanya kepada FMT.

Penyanyi yang popular di Sabah dengan lagu ”Gadis Kudat” itu turut berharap, sambutan pada tahun ini akan lebih meriah berbanding tahun lalu walaupun ia disambut dalam suasana norma baharu.

”Siapa tidak rindu Kaamatan seperti sebelum ini kan? Ia sebenarnya bukan mengenai mendapat tawaran sana sini, tetapi semangat pesta itu yang penting,” katanya.

Queenera Francine Francis.

Sementara itu, Queenera Francine Francis atau lebih dikenali sebagai Nera berkata, sambutan Pesta Kaamatan sebelum pandemik Covid-19 sentiasa meriah baginya.

Katanya, selain berpeluang berkumpul bersama saudara-mara dan sahabat handai, sambutan Kaamatan juga menjadi medan bagi artis Sabah berkumpul pada setiap tahun.

”Setiap kali musim Kaamatan, saya bukan hanya menerima jemputan membuat persembahan dan menjadi juri ”Sugandoi”, tetapi sibuk dengan program lain bersama dengan stesen radio tempat saya bertugas.

”Memang sedihlah sambutan Kaamatan pada tahun lalu sangat suram dan tahun ini juga dijangka berlaku perkara sama. Boleh dikatakan tidak banyak jemputan dan jauh berbeza seperti sebelum pandemik (Covid-19),” katanya.

Penyanyi yang merupakan salah seorang peserta program realiti Akademi Fantasia musim ke-7 itu berkata, walaupun tahun ini masih belum boleh ”aramai”, beliau tetap berharap semangat Kaamatan itu akan terus ”marak” dalam kalangan masyarakat di Sabah.

”Tiada keramaian bukanlah bermakna kita tidak boleh menyambutnya kerana saya yakin semangat Kaamatan itu sentiasa ada dalam diri kita walaupun kita menyambutnya dengan norma baharu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.