
Dalam kenyataan hari ini, parti itu berkata, writ saman dan pernyataan tuntutan diserahkan di kediaman Hassan hari ini.
Saman itu difailkan terhadapnya kerana gagal melepaskan kerusi DUN itu selepas melompat parti.
Warisan memohon mahkamah memaksa Hassan mematuhi surat peletakan jawatan sebagai ADUN Sebatik yang ditandatangani dulu.
Dalam pernyataan tuntutannya, Warisan berkata, Hassan melanggar amanah diberikan kepadanya oleh parti dan anggotanya.
Warisan turut mendakwa Hassan sengaja menipu ketika memberi ikrar taat setia kepada parti, malah tidak berusaha mematuhinya.
Februari lalu, Hassan mengisytiharkan dirinya wakil rakyat bebas dan memberi sokongan kepada gabungan pemerintah GRS. Beliau kemudiannya menyertai PPBM.
Susulan tindakannya keluar parti, Presiden Warisan, Shafie Apdal berkata, Hassan sudah menandatangani ikrar taat setia kepada Warisan sebelum pilihan raya negeri, September tahun lalu.
Hassan mendakwa surat itu tidak sah kerana beliau terpaksa melafazkan ikrar itu untuk dicalonkan.
Warisan menyerahkan surat peletakan jawatan Hassan yang ditandatangani terlebih dahulu kepada Speaker DUN Sabah, Kadzim M Yahya. Bagaimanapun, Hassan turut menyerahkan akuan berkanun untuk menarik balik surat itu pada hari sama.
Susulan itu, Kadzim menolak surat peletakan jawatan berkenaan dan memutuskan Hassan terus kekal sebagai ADUN. Menurutnya, ini disebabkan surat peletakan jawatan Hassan yang dikemukakan Warisan tidak efektif kerana ditandatangani terlebih dahulu tanpa menyatakan sebarang tarikh.
Selain itu, katanya, Hassan juga menghantar kepadanya akuan bersumpah dengan jelas menyatakan tiada niat untuk mengosongkan kerusi DUN di sebalik tindakannya meninggalkan Warisan.