Sijil daftar Muafakat Nasional di tangan, kata Annuar

Sijil daftar Muafakat Nasional di tangan, kata Annuar

Bekas setiausaha agung BN itu berkata, tidak kira MN didaftarkan atau sebaliknya, gagasan itu perlu diteruskan.

Annuar Musa berkata, seorang usahawan dari Batu Pahat, Johor memiliki IP yang didaftarkan atas namanya dan jawatankuasa penaja turut ditubuhkan.
PETALING JAYA:
Bekas setiausaha agung Barisan Nasional, Annuar Musa mendakwa seorang usahawan yang sudah mendaftarkan Muafakat Nasional, bersedia menyerahkan hak harta intelek (IP) kepadanya untuk terus memperjuangkan gagasan itu.

Katanya, usahawan dari Batu Pahat, Johor itu memiliki IP yang didaftarkan atas namanya dan jawatankuasa penaja turut ditubuhkan.

“Insya Allah, MN terus kita perjuangkan. Kita tolak mereka yang pilih perpecahan.

“Sama ada kita jadikan MN berdaftar atau tidak, bukan lagi masalah. Sijil dan IP sudah berada di tangan,” tulisnya di Facebook.

Menteri Wilayah Persekutuan itu bagaimanapun berkata, tidak kira MN didaftarkan atau sebaliknya, gagasan itu perlu diteruskan.

MN merupakan kerjasama politik Umno dan PAS yang ditubuhkan menerusi Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 Sept 2019.

Pada 30 Disember 2020, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, MN tidak dapat didaftarkan kerana nama itu sudah digunakan pihak lain dalam pendaftaran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

Bagaimanapun, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pada 2 April lalu dilaporkan berkata, parti itu menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat asal MN – pakatan yang dianggotainya bersama Umno sebelum ini.

Beliau turut mengajak semua kumpulan Islam menyertai Perikatan Nasional, bersama PPBM, yang menurutnya berteraskan Islam memimpin dan berintegriti.

Kenyataan itu menyusul selepas gesaan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dalam perhimpunan agung partinya pada 27 Mac lalu untuk PAS memilih sama ada mahu bersama Umno atau PPBM sebagai sekutunya pada pilihan raya umum ke-15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.