Pekerja asing patah kaki terjun dari tingkat 3 demi elak ditahan

Pekerja asing patah kaki terjun dari tingkat 3 demi elak ditahan

Pekerja asing itu antara 269 orang yang ditahan Jabatan Imigresen dalam serbuan di sebuah tapak pembinaan.

Seorang pekerja asing cedera ketika cuba melarikan diri daripada serbuan Jabatan Imigresen hari ini. (Gambar Jabatan Imigresen)
PETALING JAYA:
Seorang pekerja asing patah kaki selepas terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan dalam pembinaan untuk mengelak ditahan pihak berkuasa.

Pekerja asing itu, antara 269 orang yang ditahan Jabatan Imigresen ketika menyerbu sebuah tapak pembinaan di Kuala Lumpur, sedang dirawat di hospital.

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud dalam kenyataan berkata, serbuan itu dijalankan di tapak pembinaan di Kampung Wira Jaya, Setapak berdasarkan aduan dan maklumat awal.

Ketika serbuan itu, pihak berkuasa memeriksa dokumen 329 orang yang menyebabkan 269 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan, termasuk tidak mempunyai dokumen sah atau permit kerja serta tinggal lebih masa.

Malah, ada yang menyalahgunakan pas lawatan kerja sementara, untuk sektor berbeza atau syarikat lain.

Semua pekerja asing itu, termasuk lelaki dan wanita, tinggal di rumah kongsi yang dibina di tapak pembinaan itu.

Katanya, semua yang ditahan itu akan menjalani ujian saringan sebelum dihantar ke depot imigresen di Negeri Sembilan dan Selangor.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen juga akan mengambil tindakan terhadap pemilik premis, atau majikan yang menggaji pekerja asing tanpa dokumen relevan dan sengaja melindungi individu melanggar undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.