Masih ada masa tentukan vaksin AstraZeneca, kata Khairy

Masih ada masa tentukan vaksin AstraZeneca, kata Khairy

Ia susulan beberapa kes penerima vaksin mengalami trombosis (pembekuan darah) di negara Eropah.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, vaksin AstraZeneca akan tiba bulan depan.
PETALING JAYA:
Malaysia sedang menunggu laporan Agensi Perubatan Eropah (EMA) mengenai vaksin AstraZeneca sebelum memutuskan sama ada akan meneruskan pembeliannya, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.

“Kami mempunyai sedikit masa untuk menentukan sama ada mahu meneruskannya. Buat masa ini, EMA belum mengeluarkan laporan,” katanya yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi.

Beberapa kes penerima vaksin menghadapi trombosis (pembekuan darah) dilaporkan di negara Eropah.

Khairy berkata, laporan EMA akan menentukan sama ada terdapat “kaitan sebab akibat dengan kes trombosis (pembekuan darah)” dan Malaysia akan menentukan “sama ada kita akan teruskan atau teruskan dengan berhati-hati”.

Katanya, vaksin AstraZeneca akan tiba bulan depan melalui program perkongsian vaksin global Covax.

Beliau mendapati, susulan laporan media mengenai beberapa penerima mengalami pembekuan darah selepas vaksinasi, sesetengah negara mengemas kini penggunaan vaksin mereka dengan berhati-hati terhadap sebarang tanda pembekuan darah selepas divaksin.

Semalam, Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkata, Malaysia akan meneruskan penggunaan vaksin AstraZeneca kerana data klinikal masih menjurus kepada kebaikan berbanding kemudaratan.

Langkawi lokasi ujian pelancongan

Khairy berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk menjadikan Langkawi sebagai “sandbox destination” atau lokasi ujian untuk pembukaan semula sektor pelancongan secara beransur-ansur.

Katanya, ada perbincangan untuk membenarkan pelancong yang divaksin sepenuhnya mengunjungi Langkawi.

“Tetapi, ini bermakna semua penduduk di Langkawi juga perlu divaksin sepenuhnya.”

Beliau berkata, pada masa depan, kerajaan mungkin perlu mengguna pakai sesetengah peraturan seperti mewajibkan pelancong menjalani ujian saringan Covid-19 selain divaksin sepenuhnya, memandangkan Covid-19 mungkin menjadi endemik.

“Ia mungkin tidak mencukupi untuk menunjukkan anda divaksin sepenuhnya,” katanya sambil menambah ada kebimbangan mengenai mutasi virus baharu walaupun usaha imunisasi global.

Khairy berkata demikian dalam sebuah panel perbincangan mengenai pelancaran kempen vaksin anjuran Institut Penyelidikan CIMB Asean dan Majlis Penasihat Perniagaan Asean.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.