
Peguam Harvinderjit Singh berkata, keterangan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Ung Su Ling dipertikaikan ketika pertemuannya pada September 2014 dengan Azlin Alias dan arahannya yang disebut itu dipercayai sebagai bukti dalam kes pendakwaan.
Peguam itu berkata, arahan didakwa dibuat pada Disember 2014 dan Februari 2015 kepada Ung dari Azlin kononnya dari mesej WhatsApp yang tidak dapat dikemukakan dan, diakui telah dipadam.
“Baik dokumen utama (telefon bimbit) mahupun pesanan WhatsApp tidak dikemukakan,” katanya dalam penghujahan tersebut.
Azlin meninggal dunia dalam nahas helikopter pada April 2015. Ung memberikan keterangan di mahkamah pada Julai 2019.
Harvinderjit berkata, ketika disoal balas semasa perbicaraan, Ung berkata dia memadam mesej dan membuang telefon kerana mahu “menghapuskan memori yang menyakitkan”.
Peguam itu berkata, hakim perbicaraan Mohd Nazlan Mohd Ghazali bergantung kepada bukti Ung mengenai perbincangannya dengan Azlin untuk mengaitkan Najib dengan tuduhan tersebut.
Julai lalu, Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun kepada Najib dan memerintahkannya membayar denda RM210 juta setelah mendapati dia bersalah atas tujuh tuduhan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd .
Ung telah memberi keterangan bahawa dia bertemu dengan Azlin pada bulan September 2014 untuk membincangkan hal-hal berkaitan YR1M kerana dia adalah salah satu daripada empat pemegang amanah yayasan terbabit.
“Azlin memberitahu saya bahawa sejumlah wang yang tidak didedahkan jumlahnya akan dipindahkan ke Ihsan Perdana Sdn Bhd untuk program tanggungjawab korporat dan sosial.
“Dia meminta bantuan saya untuk memberitahu CEO Ihsan Perdana (Shamsul Anwar Sulaiman) untuk memindahkan wang ke dalam akaun,” katanya.
Ung berkata pada Disember 2015, Azlin memaklumkan kepadanya melalui WhatsApp bahawa RM32 juta telah dipindahkan ke dalam akaun Ihsan Perdana. Sebanyak RM10 juta lagi dimasukkan ke dalam akaun Najib pada Februari 2016.
Beliau berkata, dia tidak tahu siapa pemilik akaun bawah AmPrivate Banking-MY dan AmPrivate Banking-1MY.
Bagaimanapun, Pengurus Cawangan AmBank Jalan Raja Chulan, R Uma Devi telah memberi keterangan bahawa akaun tersebut adalah atas nama Najib.
Harvinderjit hari ini turut mengemukakan bahawa akaun Najib dimanipulasi oleh Ketua Pegawai Eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil dan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho dengan bantuan Ung, Terence (seorang eksekutif di SRC) dan pegawai Ambank, termasuk Pengurus Hubungannya Joanna Yu Ging Ping .
“Peranan Low di sini adalah untuk menguruskan akaun Najib kerana dia mempunyai orang tengah dalam bentuk Geh,” kata peguam itu.
Perbicaraan diteruskan.