Indeks prestasi iklim sangat buruk, kita semakin jatuh, kata Najib

Indeks prestasi iklim sangat buruk, kita semakin jatuh, kata Najib

Beliau berkata, agenda pembangunan Malaysia perlu mengambil kira langkah untuk melawan perubahan iklim.

Najib Razak berkata, Malaysia semakin jatuh pada tahun 2020 iaitu ke-53 daripada 61 negara dan 56 daripada 61 negara bagi indeks tahun 2021.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, indeks prestasi perubahan iklim negara yang dikeluarkan setiap tahun oleh NGO Germanwatch semakin jatuh dan sangat buruk.

Beliau berkata, prestasi negara kembali ke kategori sangat buruk pada 2019 apabila ranking Malaysia jatuh ke tangga 51 daripada 60 negara.

“Dan kita semakin jatuh pada tahun 2020 ke-53 daripada 61 negara dan 56 daripada 61 negara bagi indeks tahun 2021,” katanya di Facebook.

Najib berkata, pada 2008 sebelum beliau menjadi perdana menteri, prestasi Malaysia untuk melawan perubahan iklim dikategorikan sebagai amat buruk iaitu di tempat ke-49 daripada 61 negara utama yang dipantau indeks itu.

Katanya, namun dengan langkah pro-aktif Pelan Transformasi Negara (NTP dan ETP), prestasi negara naik sedikit.

“Prestasi kita naik sedikit ke tangga 44 daripada 61 negara pada 2017.

“Tetapi masih dikategorikan sebagai negara prestasi buruk iaitu sedikit bertambah baik berbanding kategori sangat buruk,” katanya.

Najib berkata, agenda pembangunan Malaysia perlu mengambil kira langkah untuk melawan perubahan iklim.

“Sebab apa langkah yang kerajaan Malaysia ambil hari ini akan membawa impak amat besar kepada generasi mendatang.

“Generasi kita harus bertanggungjawab pada mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.