
Cyberjaya: Gua Matsoorat di Perak tidak disenaraikan sebagai lokasi penggambaran sebuah drama yang menjadi isu ekoran dakwaan berlaku kerosakan dalam gua berkenaan, kata Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Zakaria Abdul Hamid.
Beliau berkata, FINAS sudah menjalankan siasatan terhadap lesen Surat Perakuan Penggambaran (SPP) dan mendapati senarai tempat dan aktiviti penggambaran syarikat produksi terbabit tidak melibatkan Gua Matsoorat.
“Tidak ada langsung yang menyebut boleh buat penggambaran dalam gua,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Festival Filem Belia Antarabangsa LimKokWing University.
Katanya, penerbit drama itu juga mengakui tiada adegan lakonan dalam Gua Matsoorat, dan ia bermakna pencerobohan atau kerosakan dalam gua yang berlaku merupakan tindakan peribadi individu atau kumpulan.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan Perak sedang menyiasat dakwaan fosil berusia jutaan tahun dan bahagian dinding di Gua Matsoorat didakwa dirosakkan ketika sebuah syarikat produksi drama menjalankan penggambaran.
Turut tular di laman sosial apabila pengguna Facebook mendedahkan terdapat kerosakan selepas penggambaran sebuah drama, selain mendakwa kru produksi membuang sampah merata-rata dengan perkongsian beberapa gambar menunjukkan kerosakan dan ukiran tajuk drama itu pada dinding gua.
Mengenai festival filem hari ini, pertandingan julung kali diadakan oleh Akademi Filem LimKokWing itu melibatkan 11 kategori serta menarik penyertaan daripada 18 negara termasuk Malaysia, China, India, Pakistan dan Syria
Tiga daripada kategori itu dimenangi pelajar Malaysia iaitu Anugerah Pelakon Terbaik oleh Sim Yuan Wei bagi filem pendek “The Chase”, Anugerah Lakon Layar Terbaik oleh Siti Nuryshirah Mohd Anwar filem “Penjara Seni” dan Anugerah Muzik Asal Terbaik oleh Logan Ghanesh bagi filem “Peace Drop”.