Ceroboh tanah adat, Orang Asli dapat lanjutan arahan henti kerja

Ceroboh tanah adat, Orang Asli dapat lanjutan arahan henti kerja

Mahkamah Tinggi benarkan lanjutan sehingga 25 April selepas peguam berhujah sebarang kerja di tanah itu mampu menyebabkan kerosakan kekal.

Penduduk terbabit menuntut deklarasi bahawa Orang Asli Kampung Kelaik adalah pemegang hak milik tanah adat nenek moyang mereka. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiga penduduk perkampungan Orang Asli dari Gua Musang yang menyaman kerajaan Kelantan dan 13 yang lain berhubung pencerobohan tanah adat mereka, mendapat lanjutan injunksi terhadap semua kerja di lokasi itu.

Ahak Uda, 54, Aziz Angah, 33, dan Anjang Uda, 30, mendapat injunksi pada 18 Mac.

Hari ini, Mahkamah Tinggi Kota Bharu membenarkan penangguhan pelaksanaan sementara sehingga 25 April ini, kata peguam mereka Sachpreetraj Singh dan Rajesh Nagarajan kepada FMT.

Penduduk terbabit menuntut deklarasi bahawa Orang Asli Kampung Kelaik adalah pemegang hak milik tanah adat nenek moyang mereka.

Rajesh berkata, pihaknya berhujah sekiranya injunksi tidak diberikan, syarikat terbabit akan meneruskan kerja di tanah itu termasuk memotong pokok.

“Ini akan menyebabkan kerosakan kekal terhadap tanah Orang Asli itu. Kami berusaha mengelak perkara itu,” katanya.

Rajesh juga akan memfailkan usul menghina mahkamah selepas anak guamnya dimaklumkan masih ada kerja sedang dilakukan di lokasi itu.

Ketiga-tiga plaintif itu menamakan Syarikat Perlombongan Gua Musang Sdn Bhd; Redstar Capital Sdn Bhd; Aqua Orion Sdn Bhd; Damai Corporate Services Sdn Bhd; Sindiyan Sdn Bhd dan Sindiyan Agro Park Sdn Bhd sebagai defenden pertama hingga keenam.

Selain itu, Ladang Kelantan Sdn Bhd; Ikrar Bumi Sdn Bhd; Ladang Ulu Nenggiri Sdn Bhd; Iliasco Engineering & Construction Sdn Bhd; Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kelantan, Pejabat Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Jabatan Kemajuan Orang Asli dan kerajaan negeri Kelantan turut dinamakan sebagai defendan ketujuh hingga ke-14.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.