Akta 355: Walau dibantah, kerajaan mahu hukuman lebih berat terhadap LGBT

Akta 355: Walau dibantah, kerajaan mahu hukuman lebih berat terhadap LGBT

Bagaimanapun kerajaan belum tetapkan bila pindaan Akta 355 akan dibentangkan, kata Menteri Zulkifli Mohamad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad berkata budaya LGBT bukan hanya menjadi satu kesalahan dari segi syarak dan undang-undang Islam malah bertentangan dengan fitrah manusia.
KUALA LUMPUR:
Biarpun mendapat bantahan kumpulan bekas penjawat kanan kerajaan, kerajaan masih mahu meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 bagi membolehkan hukuman lebih berat terhadap perbuatan lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) yang menyalahi undang-undang.

“Kita tidak boleh mengiyakan perbuatan seperti itu,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Mohamad kepada pemberita di Masjid Wilayah Persekutuan.

Beliau bagaimanapun berkata kerajaan belum menetapkan bila pindaan itu akan dibentangkan di Parlimen.

“Pindaan mesti melalui beberapa proses…tetapi kita akan menuju ke arah berkenaan,” tambahnya.

“Kita juga melihat dari segi kemungkinan akan dibentangkan dan diluluskan terlebih dahulu ke Jemaah Menteri dan kalau tiada apa halangan dan suasana membenarkan, kita akan masuk ke Parlimen tidak lama lagi.”

Zulkifli berkata masyarakat sedia maklum “budaya” LGBT bertentangan dengan ajaran Islam dan fitrah manusia, maka pindaan ini ke arah mewujudkan “keharmonian”, “kebaikan”, dan “keselesaan” dalam kehidupan masyarakat.

“Cuma kita kena kendalikan isu berkenaan dengan penuh hikmah, mengajak dan mendidik mereka (golongan LGBT) kembali ke pangkal jalan serta sama-sama membetulkannya,” katanya.

“Selebihnya kita kena tengok dari aspek perundangan dan pandangan pakar mengenai pindaan sebelum Akta 355 dibentangkan ke Jemaah Menteri dan Parlimen.”

Terdahulu, kumpulan G25 membantah cadangan untuk meminda Akta 355 bagi membolehkan hukuman lebih berat dijatuhi ke atas pesalah perbuatan LGBT.

G25 dalam kenyataan berkata pindaan terhadap akta itu dapat ditafsirkan sebagai langkah pertama negara untuk melaksanakan hudud.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.