
Tawaran terdahulu adalah untuk kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih Lebuhraya Litrak, SPRINT, Kesas dan SMART di Lembah Klang dengan kos RM6.2 bilion.
Tawaran baharu itu serupa dengan persetujuan dicapai bersama PLUS sebelum ini, iaitu konsesi dilanjutkan, tetapi dengan kadar tetap.
“Perkara itu kini dalam semakan,” katanya dipetik Malay Mail.
Fadillah berkata, tawaran Gamuda sebelum ini ditolak kerajaan Perikatan Nasional atas alasan bimbang komitmen kewangan meningkat.
“Bagaimanapun, Gamuda kembali dengan cadangan baharu untuk skim baharu seperti dilakukan PLUS, iaitu konsesi dilanjutkan dengan kadar tetap, namun perkara itu kini dalam semakan.”
PLUS adalah pemegang konsesi lebuh raya terbesar negara ini.
Fadillah berkata, pemegang konsesi lebuh raya Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) turut menyerahkan usul untuk pengambilalihan kerajaan.
Bagaimanapun katanya, Putrajaya mahukan “penyelesaian seragam untuk semua pemegang konsesi lebuh raya di Lembah Klang”.
Beliau berkata, kerajaan perlu melihatnya secara menyeluruh “kerana ada lebuh raya yang menguntungkan dan ada yang mengalami kerugian, jadi kita perlu melihat keseluruhan pakej untuk mencari penyelesaian terhadap masalah yang kita hadapi kini”.
Katanya, kerajaan perlu mempertimbangkan kepentingan awam dan tidak membebankan pengguna jalan raya dengan kadar tol lebih tinggi.
Pada 2018, kerajaan PH ketika itu mengumumkan ia akan mengambil alih Kesas, SPRINT, Litrak serta SMART untuk RM6.2 bilion.
Bagaimanapun, pada Jun 2020, kerajaan PN berkata, ia mempertimbang membatalkan cadangan mengambil alih empat lebuh raya dalam bandar yang dimiliki Gamuda.