Taktik pindah diesel diseleweng dari tengah laut ke bot, lori tangki gagal

Taktik pindah diesel diseleweng dari tengah laut ke bot, lori tangki gagal

KPDNHEP Terengganu melakukan serbuan itu selepas risikan selama dua bulan.

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia (kiri) menunjukkan dua bot kargo yang mengandungi minyak diesel diseleweng di stor pelupusan bahan binaan di Kampung Teluk Pasu hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu merampas 53,000 liter minyak diesel yang dipercayai diseleweng, dalam serbuan di sebuah stor pelupusan bahan binaan di Kampung Teluk Pasu, di sini semalam.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata turut dirampas sebuah lori tangki dan dua bot kargo dengan nilai keseluruhan RM930,150.

Susulan serbuan itu, katanya, lima lelaki berusia 30-an ditahan.

“Serbuan yang dijalankan lapan pegawai penguat kuasa pada 12.15 tengah malam (Isnin) di sebuah stor pelupusan bahan binaan mendapati tiga lelaki disyaki sebagai pekerja premis leka membuat penyelenggaraan terhadap sebuah pam yang disambungkan paip getah lutsinar.

“Selain itu, seorang lagi lelaki dijumpai berada di atas bot, manakala seorang lelaki kemudiannya menyerah diri di pejabat KPDNHEP keesokannya.

“Turut dijumpai sebuah kenderaan jenis Perodua Kelisa dan sebuah lori tangki di dalam premis tersebut,” katanya dalam sidang media selepas meninjau lokasi serbuan hari ini.

Hasil penelitian pihaknya mendapati terdapat satu pam bersambung paip getah lutsinar di tepi lori tangki itu yang disambungkan ke arah belakang premis tersebut.

Selain itu, pihaknya turut mengesan sebuah lagi pam yang disambung terus ke tangki bot kargo dan bersambung pam di tepi lori tangki, dipercayai digunakan untuk pemindahan diesel.

“Dianggarkan lebih kurang 23,000 liter minyak diesel di dalam tangki lori dan lebih kurang 30,000 liter minyak diesel di dalam tangki bot.

“Dipercayai minyak diesel tersebut dipindahkan dari tengah laut, dimasukkan ke dalam tangki bot kargo sebelum dimasukkan pula ke dalam lori tangki. Minyak diesel ini berkemungkinan dibekalkan ke kawasan perindustrian,” katanya.

Beliau berkata, serbuan itu dijalankan selepas pihaknya membuat risikan selama dua bulan dan mendapati kegiatan itu giat dijalankan memandangkan kawasan premis terbabit dibersihkan sebagai persiapan melakukan pemindahan minyak seterusnya.

Saharuddin berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan.

Jika sabit kesalahan, katanya, pesalah boleh didenda RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala hukuman ke atas syarikat adalah denda tidak melebihi RM2 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.