Kes rogol ADUN Perak: Pendakwaan mohon guna Akta Perlindungan saksi selepas ugutan bunuh

Kes rogol ADUN Perak: Pendakwaan mohon guna Akta Perlindungan saksi selepas ugutan bunuh

Dua saksi yang terlindung di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009 adalah mangsa berusia 24 tahun dan seorang lagi saksi yang dilaporkan menerima ancaman bunuh.

ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong didakwa merogol pembantu rumahnya pada 7 Julai 2019. (Gambar Bernama)
IPOH:
Pihak pendakwaan kes rogol pembantu rumah membabitkan ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong memberitahu Mahkamah Tinggi akan membuat permohonan untuk dua saksi mengemukakan keterangan mengikut Akta Perlindungan Saksi 2009.

Pengarah Pendakwaan Perak, Jamil Aripin memaklumkan Hakim Abdul Wahab Mohamed, dua saksi itu merupakan peserta Program Perlindungan Saksi di bawah akta berkenaan.

“Kami mahu dua saksi itu mengemukakan keterangan mereka mengikut Seksyen 265 (A) Kanun Tatacara Jenayah supaya identiti serta keterangan itu tidak didedahkan dan hanya perlu dikemukakan kepada mahkamah.

“Saya hendak maklumkan kedua-dua saksi telah menyatakan hasrat mereka memberi keterangan secara tertutup dalam kamera tanpa dilihat OKT (tertuduh) dan peguamnya serta enggan identitinya didedahkan,” katanya pada hari kedua perbicaraan kes itu petang ini.

Katanya, orang awam dan petugas media tidak dibenarkan mendedahkan maklumat saksi di bawah akta itu.

Jamil berkata, identiti bukan hanya bermaksud latar belakang, maklumat atau lokasi saksi, tetapi juga perkara yang boleh membawa kepada pendedahan identiti seperti pengecaman wajah saksi.

Oleh itu, katanya, membenarkan tertuduh dan peguam melihat saksi, membawa kepada pendedahan identiti, walaupun pihak tertentu termasuk peguam dan tertuduh mempunyai pengetahuan tentang identiti saksi terlindung.

Beliau berkata, dua saksi yang terlindung di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009 adalah mangsa berusia 24 tahun dalam kes ini dan seorang lagi saksi yang dilaporkan menerima ancaman bunuh.

“Bekas speaker DUN Perak, Ngeh Koo Ham ada membuat laporan polis mengatakan beliau mendapat maklumat lelaki yang membawa pembantu rumah Indonesia itu menerima RM100,000 dan diugut dengan pistol, dengan kata lain terdapat ancaman terhadap saksi.”

Peguam Rajpal Singh yang mewakili Yong bagaimanapun menyuarakan menyatakan bantahan terhadap permohonan pihak pendakwaan bagi penggunaan akta berkenaan ke atas saksi untuk memberi keterangan.

Wahab kemudian mengarahkan pihak pendakwaan menunggu pasukan pembelaan menyediakan jawapan sebelum menghantar permohonan penggunaan Akta Perlindungan Saksi 2009.

Hakim turut mengarahkan perbicaraan diteruskan dengan keterangan saksi lain bagi mengelakkan pembaziran masa.

Perbicaraan ditangguh kira-kira 4.30 petang tadi dan disambung 10 pagi esok.

Pihak pendakwaan diketuai Jamil, dengan dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi dan Ainul Wardah Shahidan, manakala pasukan pembelaan terdiri daripada Rajpal, Salim Bashir dan Phang Yong Nur Sarah.

Pada 21 Dis lepas, Mahkamah Tinggi menetapkan sembilan hari bermula 30 Mac lalu untuk perbicaraan kes selepas Yong, 51, mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol pembantu rumahnya itu di kediamannya di Meru Desa Park pada 7 Julai 2019 antara 8.15 malam dan 9.15 malam, namun perbicaraan ditangguh sehingga dimulakan semalam.

Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen, namun pada 15 Dis lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan agar kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Yong pertama kali didakwa atas pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen pada 23 Ogos 2019, ketika beliau memegang merupakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.