
Beliau berkata, pekerja asing juga tidak boleh menyara hidup dengan gaji minimum RM1,001 hingga RM1,500, apatah lagi warga tempatan yang mempunyai banyak komitmen.
“Minimum diperlukan RM3,000, terutama di bandar-bandar besar,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Pusat Penempatan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF).
Jabatan Perangkaan sebelum ini melaporkan majoriti graduan menerima anggaran gaji bulanan antara RM1,001 hingga RM1,500, berbanding purata RM2,001 hingga RM2,500 yang direkodkan pada 2019.
Semalam, Saravanan dilaporkan berkata, kelembapan ekonomi semasa antara faktor tawaran gaji kepada graduan, rendah.
“Saya cadangkan kita terima gaji yang sedia ada, daripada menjadi penganggur,” katanya.
Dalam pada itu, Saravanan berkata, HRDF mahu mewujudkan 50,000 peluang penempatan pekerjaan dan peluang menjana pendapatan.
Setakat ini, kata beliau, HRDF sudah menjalinkan kerjasama strategik dengan lebih 20 majikan, persatuan majikan dan rakan strategik kerjaya untuk mencapai matlamat itu.