Varian Covid-19 Afrika Selatan cetus kebimbangan

Varian Covid-19 Afrika Selatan cetus kebimbangan

Bekas timbalan menteri kesihatan berkata kerajaan gagal mengawal negara ini daripada penularan kes import.

PETALING JAYA:
Seorang bekas timbalan menteri mendakwa kerajaan gagal melindungi rakyat Malaysia daripada kes import Covid-19.

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, mungkin terdapat lebih banyak kes varian Afrika Selatan yang sangat mudah berjangkit berbanding sembilan kes berkaitan varian itu yang dikena pasti di Malaysia setakat ini.

Bercakap kepada FMT, Lee berkata kehadiran varian itu di negara ini menunjukkan kerajaan gagal menjaga sempadan Malaysia daripada kes import Covid-19.

Katanya, jumlah varian yang diimport itu berkemungkinan jauh lebih tinggi daripada yang dilaporkan kerana Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan penjujukan genom hanya untuk beberapa kes terpilih.

Dr Lee Boon Chye

“Kita perlu buat lebih banyak penjujukan virus yang lebih genomik dalam kalangan pesakit Covid-19 untuk mengetahui sejauh mana penularannya dan untuk lebih memahami rantai penularan,” katanya.

Tambah beliau, sesetengah vaksin, seperti AstraZeneca, tidak berkesan melawan varian Afrika Selatan itu dan yang lain, seperti vaksin yang dihasilkan oleh Pfizer, mempunyai kesan terhad.

Beliau menyeru langkah pemantauan strain dan prosedur pencegahan yang lebih baik di pintu masuk sempadan negara.

“Pengesanan kontak yang efektif daripada setiap kes baharu Covid-19 perlu dibuat supaya setiap kes tidak menjadi kluster jangkitan yang besar dan tidak terkawal.

“Virus ini boleh dibendung jika setiap kontak rapat dapat dikenal pasti, diuji dan diasingkan dalam tempoh 48 jam.”

Dr Sanjay Rampal

Dr Sanjay Rampal, pakar epidemiologi di Universiti Malaya berkata, mutasi pasti berlaku dengan intensiti kejadian global Covid-19.

Beliau memberitahu FMT, mutasi cenderung untuk merebak di mana-mana negara tanpa kawalan sempadan yang kukuh.

“Garis panduan kuarantin di Malaysia sudah mencukupi,” katanya.

“Namun, pelaksanaan perlu diseragam untuk semua pelancong.”

Sanjay berkata ada keperluan untuk menyesuaikan jangkaan bagi mengakui bahawa akan sentiasa ada risiko awal bagi penyebaran Covid-19.

“Pada pendapat saya, terdapat ciri-ciri sampel genetik yang berterusan dari masa ke masa oleh makmal. Mungkin ada ruang untuk lebih banyak ketelusan data,” katanya.

Baru-baru ini, KKM mengenal pasti sembilan kes Covid-19 berkaitan varian sangat mudah berjangkit B.1.351 yang pertama kali dijumpai di Afrika Selatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semua kes itu adalah jangkitan tempatan.

“KKM akan terus berwaspada dan melaksanakan pelbagai langkah kesihatan awam untuk mencegah berlakunya limpahan varian baru ke Malaysia,” katanya.

Dikenal pasti pada Disember lalu, varian B.1.351 itu menular dengan cepat dari Afrika Selatan dan Britain ke Amerika Syarikat, Kanada, Jerman, Australia dan Korea Selatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.