Percepat vaksinasi untuk golongan pendidik, kata persatuan guru

Percepat vaksinasi untuk golongan pendidik, kata persatuan guru

iGuru menggesa proses vaksinasi tidak tertumpu kepada guru sekolah kerajaan, tetapi juga sekolah swasta dan tahfiz.

https://youtu.be/8i9kwyhY8mY

PETALING JAYA:
Kumpulan pendidik menggesa kerajaan mempercepatkan proses vaksinasi terhadap golongan itu bagi memastikan keselamatan guru terjamin dan sekolah beroperasi dengan selamat.

Presiden Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru), Azizee Hasan berkata, proses vaksinasi juga haruslah tidak tertumpu kepada guru di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), tetapi juga di sekolah swasta dan tahfiz.

Katanya lagi, sesi persekolahan secara fizikal tidak perlu digantung semula untuk semua sekolah, tetapi hanya dilaksanakan di sekolah yang terjejas operasinya ekoran jangkitan Covid-19.

“Apa yang diputuskan oleh KPM sudah memadai, tiada keperluan untuk (sekolah) ditutup. KPM sudah ada manual SOP yang ditambah baik berkaitan pembukaan sekolah,” katanya kepada FMT.

Azizee Hasan

Beliau mengulas kebimbangan ibu bapa berhubung peningkatan jangkitan Covid-19 di beberapa sekolah di seluruh negara hingga menyebabkan operasi sekolah lumpuh.

Menteri Kanan (Pendidikan) Radzi Jidin semalam juga menjelaskan sekolah yang melaporkan kes Covid-19 hanya akan ditutup jika sebahagian besar guru dikuarantin sehingga menjejaskan kecekapan operasi sekolah.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Penguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata, keadaan yang sesak ketika sesi tiba dan bersurai murid adalah antara cabaran yang perlu ditempuhi pengurusan sekolah bagi memastikan tiada “kluster sekolah” wujud selepas sesi pembelajaran secara bersemuka bermula 1 Mac lalu.

Aminuddin Awang

“Berdepan dengan kehadiran jumlah murid dan ibu bapa yang datang serentak di luar pagar menyukarkan pihak sekolah memastikan pematuhan SOP, seperti penjarakan fizikal.

“Guru juga tiada kuasa untuk mengambil tindakan atau menguatkuasakan sebarang peraturan berkaitan SOP di luar kawasan sekolah,” katanya.

Ketika ditanya keperluan untuk melantik guru ganti jika berlaku kekurangan tenaga pengajar akibat jangkitan Covid-19, beliau berkata, KPM perlu melihat aspek berkenaan pada sisi lebih besar dengan guru ganti boleh dilantik untuk tempoh setahun bagi membantu guru yang bercuti panjang, bersalin atau menunaikan haji.

“Tidak perlu melantik guru kontrak untuk atasi masalah guru yang positif Covid-19 atau dikuarantin.

“Jika ada peruntukan, ia lebih wajar digunakan untuk urusan guru ganti hingga akhir tahun apabila ada guru bersalin, guru ke Makkah atau bercuti panjang,” katanya.

Dua minggu lalu, sebuah sekolah rendah di Ketereh, Kelantan ditutup susulan 11 guru dan seorang murid disahkan positif Covid-19, manakala 24 guru lain dikuarantin.

Penularan itu berpunca daripada seorang guru yang dijangkiti virus berkenaan selepas menghadiri majlis perkahwinan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.