Guna alasan keluarga susah curi beras, susu, lelaki ditahan positif dadah

Guna alasan keluarga susah curi beras, susu, lelaki ditahan positif dadah

Lelaki warga Indonesia bertaraf penduduk tetap itu mempunyai 3 rekod jenayah lampau dan 3 kes dadah.

Tangkap layar memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal disyaki mencuri beras dan susu dalam kejadian di Jalan Indah, Kota Tinggi pada Sabtu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang lelaki warga Indonesia bertaraf penduduk tetap selepas disyaki mencuri sekampit beras dan susu di Kota Tinggi Johor, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Hussin Zamora berkata, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di rumahnya di Taman Kuso, pada pukul 7.30 malam.

Memetik laporan Utusan Online, Hussin berkata hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek didapati positif dadah heroin dan mempunyai enam rekod jenayah membabitkan tiga rekod berkaitan dadah dan tiga rekod jenayah.

“Suspek mempunyai taraf penduduk tetap selepas berkahwin dengan wanita tempatan. Tangkapan dibuat di rumah suspek selepas polis mendapat maklumat daripada orang awam.

“Susulan itu polis merampas sekampit beras 10 kilogram dan sebuah motosikal Yamaha LC 135 yang didaftarkan atas nama isteri suspek,” katanya.

Hussin berkata, suspek yang mempunyai anak lelaki berusia enam bulan hingga 10 tahun itu memberikan alasan mencuri untuk menanggung hidup ahli keluarganya.

“Isteri suspek hanya bekerja secara harian sebagai pembantu kantin kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dan sekolah tidak dapat dibuka, maka isterinya tidak dapat keluar mencari pendapatan harian,” katanya.

Katanya, suspek kini direman untuk siasatan lanjut selama tiga hari hingga 6 April ini untuk siasatan lanjut.

Beliau turut menegaskan, polis tidak mahu kejadian yang berlaku itu menjadi satu bentuk trend dalam masyarakat melakukan jenayah atas alasan kesempitan hidup.

Katanya, ini kerana masih ada ruang bagi mereka yang dalam kesusahan untuk memohon bantuan dari mana-mana pertubuhan bukan kerajaan atau agensi berkenaan.

Terdahulu, tular di Facebook kejadian curi yang berlaku di sebuah kedai makan di Jalan Indah yang memaparkan rakaman seorang lelaki dipercayai suspek menaiki motosikal.

Siasatan awal polis mendapati suspek mencuri sekampit beras 10 kilogram dan sekotak susu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.