Bakar rumah bapa, penganggur dipenjara 5 tahun

Bakar rumah bapa, penganggur dipenjara 5 tahun

Pertuduhan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda.

Mohd Fauzie Abdullah, 33, diperintahkan menjalani hukuman penjara lima tahun bermula dari tarikh ditangkap pada 29 Mac, selepas dia mengaku bersalah melakukan khianat dengan api di sebuah rumah di Kuala Krai. (Gambar Reuters)
KOTA BHARU:
Tindakan seorang penganggur membakar sebahagian ruang rumah milik bapa kandungnya membawa padah apabila Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadapnya.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin memerintahkan Mohd Fauzie Abdullah, 33, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh ditangkap pada 29 Mac, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan khianat dengan api di sebuah rumah di Kuala Krai, Mac lepas.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira 1 pagi pada 24 Mac, dengan membakar dapur rumah milik Abdullah Hamat, 68, sehingga menyebabkan kerosakan kepada pakaian dan barangan dapur di dalam rumah tersebut.

Berdasarkan fakta kes, Fauzie bertindak sedemikian kerana bergaduh dengan adik lelakinya yang menjual motosikal milik keluarga mereka sehingga dia menjadi berang lalu mengambil pakaian adiknya dan membakar di ruangan dapur di lokasi berkenaan.

Pertuduhan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga 14 tahun dan hendaklah dikenakan denda.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman minimum, manakala timbalan pendakwa raya Sharifah Amirda Shasha Amer Sharifuddin memohon hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.