
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata, ini kerana kesan sampingan yang dilaporkan adalah alahan yang boleh dirawat, selain tiada bukti ia menyebabkan kesan sampingan yang serius atau kematian.
“Apabila berlaku kesan sampingan, doktor di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan memberi rawatan dengan segera dan setakat ini penerima vaksin jenis yang lain juga mengalaminya namun dapat dirawat dengan baik.
“Jangan bimbang kerana kita mempunyai ubat yang dapat merawat alahan yang timbul seperti lenguh-lenguh, demam atau kegatalan pada badan.
“Vaksin ini sudah digunakan di beberapa negara luar dan Malaysia juga sudah bersetuju untuk menggunakannya, jadi jangan percaya berita tidak benar yang mendakwa kematian disebabkan vaksin ini,” kata beliau dalam sidang media Program Gunting Rambut Kembali Ke Sekolah Parlimen Bagan Serai di Pusat GiatMara Bagan Serai di sini hari ini.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah meluluskan pendaftaran secara bersyarat bagi vaksin AstraZeneca yang dibekalkan melalui fasiliti Covax oleh pengilang SK Bioscience Co Limited, Korea Selatan untuk kegunaan kecemasan.
Mengulas lanjut, Dr Noor Azmi yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata, vaksin AstraZeneca yang dihasilkan daripada viral vektor, dijangka tiba di negara ini Mei depan.
Dalam program dihadiri Noor Azmi, seramai 80 murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah di kawasan Parlimen Bagan Serai mendapatkan perkhidmatan gunting rambut secara percuma oleh pelatih lulusan GiatMara kawasan itu menjelang pembukaan semula sekolah Isnin ini.