Kenapa tahan lelaki Nigeria begitu lama, peguam tanya imigresen

Kenapa tahan lelaki Nigeria begitu lama, peguam tanya imigresen

Lelaki warga Nigeria yang memiliki visa pasangan itu sudah ditahan 19 hari sementara menunggu dokumennya disahkan.

Warga Nigeria Simon Adavize Momoh berkahwin dengan seorang wanita Malaysia sejak lapan tahun lalu dan mempunyai dua anak perempuan. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang peguam mempersoalkan penahanan berterusan seorang lelaki Nigeria, walaupun selepas denda atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol telah dibayar.

Simon Adavize Momoh, yang berkahwin dengan seorang wanita Malaysia sejak lapan tahun lalu dan mempunyai visa sah, ditahan dalam sekatan jalan raya di Cheras pada awal pagi 15 Mac lalu kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk.

Dia mengaku bersalah di mahkamah pada hari sama dan membayar denda RM12,000, manakala isterinya, Low Kar Hui, diberitahu Momoh akan dibebaskan pada 5 petang.

Tetapi, 19 hari kemudian, Momoh – yang menghidap penyakit darah tinggi – masih berada di Penjara Kajang sementara menunggu Jabatan Imigresen mengesahkan dokumennya.

Peguamnya, V Vemal Arasan, memfailkan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis lalu.

“Mari cakap mengenai beberapa fakta,” kata peguam imigresen CR Selva.

“Adakah ia satu kesalahan untuk minum? Tidak. Adakah ia kesalahan untuk minum dan memandu? Ya.

“Untuk kesalahan itu, dia sudah membayar denda dan menamatkan hukumannya. Tetapi dia masih di penjara. Adakah itu akan berlaku kepada warganegara Malaysia? Itu persoalannya.”

Selva berkata, penahanan Momoh ialah ultra vires terhadap Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 5 menyatakan tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang, manakala Perkara 8 menyatakan semua orang sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan sama.

Momoh, yang mempunyai pas lawatan sosial jangka panjang bagi pasangan yang sah sehingga 14 Okt 2022, berpindah ke Malaysia pada 2009 bagi melanjutkan pengajiannya.

Hasil perkahwinan dengan Low selama lapan tahun, pasangan itu dikurniakan dua anak perempuan, Divine, 8, dan Elisha, 5. Momoh menjaga anak di rumah kerana visanya tidak membenarkan dia bekerja di negara ini.

Seorang lagi peguam berkata, sekiranya Momoh sudah membayar denda untuk kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, pihak berkuasa “tiada hak” terus menahannya di penjara atas kesalahan sama.

“Bagaimanapun, dalam kes ini, pihak berkuasa nampaknya menahan Momoh atas alasan lain, iaitu sama ada dia mempunyai dokumen sah dan berada di Malaysia secara sah,” kata Rajesh Nagarajan.

“Penahanan itu mungkin sah. Tetapi, ia amat dikesali kerana pihak berkuasa menahan Momoh untuk tempoh yang lama.

“Kesahihan dokumen perjalanan Simon boleh ditentukan dalam masa beberapa jam dan penahanan begitu lama tidak perlu sama sekali.”

Seksyen 35 Akta Imigresen membenarkan warga asing ditahan selama 30 hari sementara menunggu sekiranya ada perintah pengusiran dibuat terhadapnya.

Di bawah Seksyen 51(B) Akta Imigresen, majistret boleh membenarkan tahanan reman tanpa syarat, sekiranya warga asing itu dihadapkan ke hadapan majistret dalam tempoh 14 hari penahanannya.

Bagaimanapun, Low mahupun Vemal tidak dimaklumkan sama ada Momoh ditahan di bawah seksyen itu.

Pengasas bersama Kumpulan Sokongan Pasangan Asing (FSSG), Bina Ramanand dan pengurus program Family Frontiers, Melinda Anne Sharlini berkata dalam kenyataan, keluarga Momoh berhak tahu kenapa dia masih ditahan.

“Bukankah Momoh patut diberitahu mengenai tuduhan yang menyebabkan penahanan berterusan dan bila dia akan dibebaskan?” soal mereka dalam kenyataan.

“Sekurang-kurangnya benarkan dia berhubung dengan isterinya. Imigresen atau pihak berkuasa berkaitan patut memaklumkan beliau kenapa suaminya masih ditahan.

“Low semakin bimbang terhadap keadaan suaminya yang menghidap darah tinggi jangka panjang dan peningkatan risiko kluster Covid-19 di penjara.

“Kita perlu memiliki kesedaran mengenai wabak dan menghormati pasangan, serta memberikan hak asasi manusia kepada mereka, kerana mereka sebahagian daripada keluarga Malaysia.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.