
Beliau berkata, gelaran itu sebagai tanda hormatnya kepada Wang, yang lebih tua daripadanya dan lebih lama memegang jawatan itu.
“Oleh itu, (beliau) adalah ‘abang’ kepada saya secara peribadi. Sikap hormat-menghormati tidak semestinya menunjukkan kelemahan,” kata beliau di Twitter.
Beliau memberi jaminan kepada rakyat yang Malaysia akan terus menjadi “bebas, berprinsip dan pragmatik” dari segi dasar luarnya.
“Kita akan terus menyumbang secara bermakna terhadap pembangunan komuniti yang saksama,” kata beliau.
Dalam sidang media bersama sempena lawatan dua harinya ke China baru-baru ini, Hishamuddin dilaporkan berkata kepada Wang yang rakan sejawatannya itu akan sentiasa menjadi “abang besar” bagi beliau, manakala Wang membalasnya dengan berkata: “Kita adik-beradik”.
Terdahulu, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, tindakan Hishammuddin menggelar China sebagai “abang besar” kepada Malaysia satu penghinaan terhadap pendirian negara yang mengamalkan dasar berkecuali.
Kata beliau, meskipun China adalah negara sahabat dan segala usaha perlu dibuat bagi meningkatkan kerjasama perdagangan serta pelaburan dengannya, gelaran itu tidak sepatutnya digunakan dalam hubungan diplomasi dan antarabangsa.