
“Kebijaksanaan kerajaan dan ‘strategi’ (untuk menarik pelaburan asing secara selektif) nyata gagal, melihat bagaimana syarikat gergasi digital ini mengelak dan menyisihkan Malaysia.”
Katanya, Facebook dan Google baru-baru ini mengumumkan akan bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi rantau ini untuk membangunkan kabel dasar laut bagi meningkatkan capaian internet antara Singapura dan Indonesia serta Amerika Utara.
Katanya, Malaysia tidak terlibat dalam projek mega ini, kerana menurut Malaysia Internet Exchange (MyIX), kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah melarang kapal asing menjalankan kerja memabiki kabel dasar laut di negara ini.
November lalu, beliau berkata menteri pengangkutan Wee Ka Siong telah membatalkan keputusan awal Pakatan Harapan (PH) untuk pengecualian kabotaj seterusnya membenarkan kapal asing menjalankan kerja-kerja berkaitan dengan kabel internet dasar laut.
Anwar berkata beberapa syarikat teknologi turut menyatakan rasa kecewa mereka berikutan pembatalan tersebut.
Katanya, tindakan oleh kerajaan PN itu telah mengakibatkan monopoli digital dengan Malaysia tidak mempunyai keupayaan meningkatkan liputan telekomunikasi secara besar-besaran, yang penting bagi pembangunan ekonomi digital.
Anwar berkata, walaupun menyokong pembangunan keupayaan teknologi tempatan, terutama melibatkan keselamatan negara, beliau menentang monopoli yang menutup saingan seterusnya menjejaskan transformasi digital negara.
Katanya, dasar kabotaj kerajaan meletakkan negara dalam kedudukan lemah terutama melibatkan aspek keselamatan dalam negara.
“Wabak Covid-19 telah menyebabkan penurunan mutu capaian internet di Malaysia tatkala kadar penggunaannya terus melonjak naik di pelbagai sektor,” katanya, sambil menyifatkan penyisihan Malaysia daripada projek itu sebagai kerugian besar untuk negara.
“Rakyat Malaysia akan terus membayar harga yang tinggi dengan kadar kelajuan yang rendah,” katanya.